Sunday 3 November 2013

Pandangan luhur

Sepanjang pengalaman saya dalam dakwah dan menuntut ilmu, pelbagai ragam manusia yang saya ketemui dan ia menjadikan satu pemerhatian yang baik lantas saya cuba buat satu konklusi. Pemerhatian yang membentuk beberapa golongan mengikut kecenderungan dan latrar belakang, mereka ialah:

1. Mereka yang suka bercerita tentang iman dan kepentingan dakwah

2. Mereka yang suka pada program-program usrah dan tarbiyah

3. Mereka yang sukakan pada perbahasan ilmu, suka membincang tetang aqwal ulama' dan isu-isu khilafiyah

4. Mereka yang suka pada unsur-unsur kerohanian, sunnah-sunnah Nabi saw dan suka berqasidah

5. Mereka yang sibuk dengan kem-kem motivasi, menjadi pelatih atau fasilitator dan sibuk merangka modul untuk prgram sekolah dan lain-lain

6. Mereka yang sukakan perbahasan yang lebih dalam melibatkan kekritisan berfikir dan mempunyai unsur falsafah

7. Mereka yang cukup gemar dengan politik. politik dijadikan wadah bagi menyampaikan agama dengan memenangi parti

8. Mereka yang pasif, tidak bergaul dan melibatkan diri dengan aktiviti. Suka bersendirian dan tidak berjemaah

Alhasil, saya cuba memandang semua golongan ini dengan pandangan yang paling positif. Sehinggalah saya faham bahawa ini semua adalah soal peranan dan tanggungjawab yang berbeza-beza. Ianya wujud kerana latar belakang individu yang berbeza maka wujudlah golongan-golongan yang mempunyai kecenderungan masing-masing.

Saya memahami bahawa semua golongan-golongan ini membawa manhaj dan fikrah yang berbeda. Maka dengan itu juga saya cuba membuka seluas-luasnya dada saya untuk berlapang menerima segala kebaikan yang ada dam sudah pasti ia membawa kepada kepentingan agama.

Bertermbungnya golongan-golongan ini haruslah di kawal dengan penuh hikmah dan adab. Setiap individu mesti mempelajari bagaimana beradab dalam menghadapi situasi pertembungan. Ini penting kerana ia dapat mengelakkan perbalahan yang bakal berlaku di antara mereka.

Akhirnya saya menyerahkan pandangan ini dengan balutan rasa bahawa jika kita ada sebuah keyakinan di atas apa jua padangan, jangan sesekali menafikan keyakinan kebenaran yang ada pada orang lain. Ia akhirnya memberikan ketenangan pada hati bahawa setiap manusia berhajat pada kebenaran cuma jalannya berbeza.

Tidak dinafikan prinsip yang mesti ada dalam melontarkan pandangan, tetapi biarlah prinsip itu difahami dengan kefahaman keilmuan orang lain juga, kerana itulah, lahirlah pelbagai tafsiran, dan di sini saya tidak membincangkan tafsiran dan pandangan yang jelas tertolak kerana benar-benar bercanggah dengan prinsip wahyu .

Lakukanlah dengan ikhlas kerana jiwa yang ikhlas sudah pasti akan pimpin hatinya oleh Allah, ya pasti inshaAllah! 

Tuesday 7 May 2013

Pengumuman


Saya telah deactivated facebook untuk sementara waktu sehingga hujung MEI  ini. Saya bakal menghadapi Final Exam kurang dari 2 minggu lagi.

Mohon doa bagi mereka yang membaca tulisan ini, semoga Allah mempermudahkan urusan menjawab soalan dengan senang dan tenang.

Sekian,

Danial Madani
Madinah Al-Munawwarah 

Thursday 25 April 2013

Mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi




Kenangan

Sehingga waktu ini Allah swt masih lagi memberi kesempatan untuk saya mencoret sesuatu. Di waktu awal pagi yang dingin, di kota bercahaya Madinah Al-Munawwarah ini, saya gagahkan juga untuk menulis dan berkongsi kata serta rasa yang telah lama ingin saya kongsikan. kadang kala, sengaja saya memberhentikan taipan seketika dan memejam mata demi melahirkan rasa syukur bahawa saya sedang berada di tanah haram, Madinah Al-Munawwarah. Alhamdulillah, dan alhamdulillah saya benar-benar terpilih untuk hidup di sini.

Saya rasa terpanggil untuk bercerita sesuatu tentang apa yang saya sedang dan telah lalui. Seperti tersentak, rupanya saya sedang belajar di universiti yang mana saya sangat idamkan selepas mendengar tentangnya. Ia satu impian besar yang telah Allah kurniakan buat saya dan sabahat-sahabat yang lain. Saya melalui liku-liku susah untuk sampai kesini. Bekalan sifat tabah dan mujahadah adalah penempuh jalan susah, selain  daripada tekad dan azam saya yang sangat kuat untuk belajar ke timur tengah. Jika saya hanya mahu tapi tidak diiringi dengan usaha, saya tidak akan sampai kesini.

Saya tidak pernah menyangka dan meletakkan di dalam kepada bahawa saya akan menjadisalah seorang pelajar di sini. Mana tidaknya, saya bukan pelajar sekolah agama. Saya hanya bersekolah di sekolah menengah biasa, tidak pernah mempelajari bahasa arab secara serius. Maka secara logiknya, mana mampu untuk ke Tanah arab dengan tidak mempelajar asas agama terutamanya bahasa arab. Sejak sekolah menengah mata pelajaran agama adalah mata pelajaran yang sering saya mendapat A. Dari situ saya menyedari bahawa kecenderungan saya adalah kearah pengajian islam.

Selepas tamat pengajian SPM, saya bercadang untuk menukar bidang kepada pengajian agama, dengan berbekalkan sijil yang tiada mata pelajaran agama kecuali subjek pengajian islam saya mengambil peluang untuk ke kolej Islam Antarabangsa (IIC). Di sana saya mengambil kursus Diploma Pengajian Islam dan Sains Kontemporari selama 3 tahun setengah. Terdapat juga kekurangan yang terpaksa saya tempuh, kerana bahasa perantaraan di situ ialah dengan bahasa enggeris. Mujur ada subjek bahasa arab untuk saya mula mempelajarinya dengan serius.

Di sana tidak ada suasana berbahasa arab, kecuali sangat sedikit, kerana pelajar yang datang dari timur tengah tidak ramai. Jika adapun, mereka lebih gemar berbahasa enggeris. Sepanjang belajar di sana, Allah telah kurniakan rezeki ilmu yang banyak, saya bertemu guru-guru yang baik ilmunya. Maka bermulalah saya sebagai pelajar bidang agama. Banyak kekurangan berbeza dengan pelajar yang dating dari sekolah agama, tapi saya tidak kisah, saya yakin kefahaman agama Allah beri kepada mereka yang Dia mahukan kebaikan - saya cuba meraih bahawa saya lah insan pilihan itu.


Universiti Islam Madinah - bayangan

Masih teingat segar perbualan saya dan beberapa rakan lain di dalam kereta bersama seorang ustaz lulusan Universiti Islam Madinah, " Danial mahu belajar di sana? " Eh.. boleh juga, tapi boleh ke?..."Eh insha Allah boleh..." Ketika itu saya sedang membanyangkan bagaimana keadaan universiti dan adakah saya layak ke sana?

Saya sukar mengingatkan apakah adegan dan cerita yang berlaku selepas itu, tetapi saya  masih ingat saya pernah mendapat sms dari seorang ustaz tentang bagaimana urusan apply untuk ke sana. Satu persatu saya teliti sms nya, sangat panjang dan detail, jumlah wang yang diperlukan juga sangat banyak. Ahh.. Ujian lagi yang perlu di tempuh.

Saya mengeluh, sebab terlalu banyak urusan yang saya perlu lalui untuk memohon, ditambah saya tidak mempunyai duit sebanyak itu. " Ustaz banyaknya urusan, saya belum ada duit..." balas sms saya kepadanya, " Tak apa, Danial bantu ustaz jual barang-barang jualan ustaz.. Beliau memberikan idea agar  mencari wang dengan membantu menjual barang jualan beliau. Saya akui saya tidak berminat dengan urusan bisnes maka apakah saya mampu mencari wang ratusan itu?


Azam dan tekad memenuhi impian

saya tempuh juga dengan mencari wang untuk memulakan langkah urusan. Saya akui masa mula-mula membaca senarai urusan di sms, memang agak merungsingkan. Tapi saya gagah juga mencari duit dan meminta bantuan ibu dan abah. Bayangkan saya perlu buat passport yang mana saya belum tahu bila saya akan ke luar negara. Harganya mahal, di tambah saya pelajar yang banyak perlukan wang ketika itu. " Ustaz.. tumpang tanya... - sudah berkali-kali saya menghubungi ustaz tersebut untuk bertanya arah jalan ke Putrajaya bagi melengkapkan lagi urusan memohon. Ahh.. penatnya..  - saya gagahi juga.

Akhirnya hampir semua dokumen saya siapkan, kecuali seingat saya medical check up. Ahhh ini juga harganya mahal, bisik mengeluh, sehinggalah saya berjumpa dengan klinik swasta. " Berapa harga jika saya ingin buat medical check up? Tanya saya kepada pembantu doktor yang duduk di reception itu - Saya terima dan terus berjumpa dengan doktor. " Awak mahu ke Saudi Arabia? " Ya.. " Buat apa di sana? " sambung pengajian di Madinah" Alhamdulillah dapat ke sana - Saya tidak cakap banyak, doktor itu fikir saya sudah diterima ke sini, walhal saya baru nak memohon! mudah-mudahan. Amin.

Saya masih ingat saya pernah ke rumah seorang ustaz atas pelawaan beliau untuk membantu, sayagembira bukan kepalang - manalah tahu ustaz tu boleh memudahkan urusan saya ke sana!Perjalan ke rumah ustaz tersebut mengambil masa hampir satu jam atau lebih, mujur saya ada sahabat yang mahu menemani, lagi pun saya bukan tahu jalan nak ke sana. Saya hanya berbekalkan motor Honda EX5 ketika itu. Saya tekad mahu juga untuk bertemu dengan ustaz tersebut kerana mahu mengambil sesuatu yang penting dari beliau, tambahan pula beliau orang lama dan bekas pelajar Madinah

" Helo ustaz, ana on the way ni, maaf ustaz lambat sikit, tersesat jalan pula tadi, inshaAllah kami sedang mencari rumah ustaz " - Mana tidak sesatnya kami bertolak malam, dan seingat saya janji untuk bertemu ustaz dalam jam 10 malam. Bayangkan pada waktu malam suasana sejuk dan gelap, tambahan kami tidak pasti jalan ke sana, walaupun sebelum ni saya pernah ke sana. Kawasan rumah ustaz tu sangat dalam dan perlu menempuhi kiri dan kanan hutan belukar. Dengan izin Allah sampai juga saya dan mujur tidak terlalu lewat dan ustaz belum melelapkan mata.

" Dokumen semua dah siap? " hampir siap kesemuanya ustaz, ok jika siap kesemuanya nanti, jumpa ana di pejabat " - Saya datang dari jauh dan sangat penat, rupanya jumpa ustaz itu hanya berbual tentang sebahagian urusan yang sudah saya laksanakan. Saya sangkakan ada sesuatu yang boleh membantu saya untuk "terus" di terima. Pulanglah saya dengan sebahagian dokumen yang di bawa tadi tanpa ada sesuatu yang menggembirakan - Saya memujuk hati agar bersangka baik bahawa ini adalah ujian, insyaALlah

Ketika perjalan pulang bersama sahabat hujan tiba-tiba turun, tergesa-gesa saya mencari tempat teduh - jam menunjukkan lebih kurang 1 pagi - terlalu lewat, hujan pula turun dan terpaksa berhenti sehingga hujan reda. Dalam beg yang saya galas tu, ada sijil spm dan surat beranak yang telah diterjemah. Saya memeluk erat beg agar tidak di masuki air, bayangkan keadaan kami menaiki motor ketika hujan turun. Akhirnya kami sampai juga. Baju dan seluar kami lenjun, mengigil-gigil kesejukan.

Sampai sahaja rumah, dengan perasaan bimbang saya terus membuka beg untuk mengetahu keadaan sijil. Satu persatu sijil saya keluarkan, " Alaa ada 2 sijil yang terkena percikan air dan mencacatkan cop di atas sijil tersebut" mengeluh saya sendirian - agak kecewa dan risau takut-takut sijil ni tidak boleh diterima, dan saya harus menterjemahnya sekali lagi - Saya jemur di bawah kipas, harap-harap masih boleh digunakan. Mujur tidak rosak semua - Sekali sekala Allah menguji - Alhamdulillah.

Akhirnya urusan selesai untuk beberapa tempoh - saya tidak mengingat secara tepat berapa lama saya siapkan semua urusan itu, yang pasti Putrajaya menjadi tempat saya berkali-kali ulang untuk mendapat surat pelepasan belajar luar negara dan cop sijil di wisma putra. Pernah satu ketika saya ke Putrajaya menaiki motosikal bersama sahabat, motosikal ini kepunyaan sahabat saya. Pada mulanya beliau yang memandu, saya hanya menjadi pembonceng - Ketika dalam perjalanan dia penat dan seolah tidak bermaya. Rupanya baru saya tahu dia sedang berpuasa, dan saya menjadi sebersalah kerana melibatkan beliau dalam urusan ini.


Akhirnya menjadi impian

Semasa keputusan penerimaan sedang tersebar, saya bermusafir dan bermalam dirumah ustaz yang awal-awal telah mempelawa saya untuk menyambung pengajian ke sini, beliau juga yang memberi maklumat untuk ke sini - Malam tu saya sangat sibuk untuk melayan soalan-soalan dari sms dan panggilan buat mereka yang menghadiri liqa' syeikh yang di adakan di Mustasyar Islami jalan ampang, saya pula berada di negeri lain, hanya membantu dari jauh. Di sebabkan rasa penat dan sedikit tension, saya membiarkan telefon bimbit di bilik tingkat atas dan turun duduk di bawah. Ah.. terasa lega dan selesa betul...

Selesai makan malam bersama, saya terus naik ke bilik tidur di atas, "berapa banyak sms dan panggilan yang tidak saya jawab" bisik dalam hati. Rupanya hanya ada 2 sms yang belum dibaca. " Tahniah akhi..." sms nya kurang jelas, waktu ini saya baru membaca sms yang pertama - sedikit kehairanan kenapa mengucap tahniah kepada saya? - Selepas membaca sms yang ke 2 dari sahabat yang lain, baru saya faham ucapan itu menunjukkan saya telah diterima untuk belajar ke Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah.

Rasa macam tidak percaya sms itu ditujukan pada saya, tapi disebabkan ada 2 sms yang mengucapkan tahniah, saya mempercayainya sahaja. Dari tingkat atas saya tinggikan sedikit suara untuk memanggil ustaz yang berada di bawah " Ustaz... ustaz... - sambil turun tangga ke bawah saya rasa sangat gembira sangat, sampai sahaja di bawah terus saya memberitahu berita baik kepadanya " Ustaz, saya dapat belajar madinah! " Ustaz menghampiri saya lantas kami berpelukan sangat gembira. "Tahniah danial!.. syukur.. Sebagai seorang Islam, saya tidak lupa untuk terus sujud syukur pada Allah.

Allah... Alllah.. ini adalah kegembiraan yang sangat besar dalam sejarah hidup saya. Malam itu saya tidak lena tidur, saya terbayangkan universiti yang bakal saya pergi nanti. Allah Allah, besarnya nikmat ini, apa yang saya perlu lakukan untuk balas nikmat ini wahai Tuhan? ini adalah bisikan yang sering hadir, sekali sekala masuk perasaan sebersalah bahawa saya hanya insan biasa yang banyak dosa pada Tuhan, tetapi kenapa nikmat ini diberikan pada saya? Air mata yang mengalir mejadi bukti saya malu dengan diri sendiri.

Malam itu saya habiskan kredit untuk menghubungi keluarga, sahabat di atas berita baik ini. Ustaz tidak putus-putus beri nasihat dan pesanan agar belajar sungguh-sungguh, katanya " jika ustaz di beri peluang sekali lagi untuk belajar sana, ustaz mahu sangat, ustaz ingin belajar semula, rasa menyesal sebab dulu ustaz nak habis cepat. Berpuluh-puluh sms saya terima sebagai respon saya di terima belajar ke sini. Allah memberi tanpa kita jangka, akhirnya usaha dan doa saya selama ini di dengari Allah.Ya Allah terima kasih atas kurnian ini.


Pantasnya masa berlalu

Sehingga ke saat ini, saya sudah berada di awal tahun 2, pantasnya masa yang berlalu - Terasa baru semalam saya menerima keputusan untuk ke sini - apa yang telah saya buat? adakah saya masih menjadi insan yang bersyukur di atas pilihan dalam ribuan pelajar yang memohon? Hanya Allah sahaja tahu siapa hamba Nya yang syukur atau kufur. Saya menulis ini bagi mendapatka satu kekuatan agar bangkit dan bangu semula jika belum memanfaatkan nikmat Allah yang agung ini.

Apabila saya menulis dan berkongsi sesuatu saya harap ia dapat mengingatkan saya jika saya lupa, memberi satu kekuatan jiwa untuk sedar dan berubah. Perasaan saya bercampur simpati kerana saya sering mendapat mesej di FB mahupun sms dari teman-teman yang kebanyakannya saya tidak kenali meminta saya mendoakan mereka agar di terima belajar di sini. Ada dalam kalangan mereka saya perhatikan sangat bersungguh-sungguh untuk belajar di sini.

"Ustaz tolongla doakan saya diterima" "Ustaz tolong doakan saya di raudhah dan depan kaabah ya" Ustaz, saya bukan dari keluarga yang senang, tapi saya nak sangat belajar sana" " Ustaz tolong doakan anak saya dapat belajar sana ya" " Akhi doakan ana" "Abang doakan saya". Begitulah permintaan yang sering saya terima dari mereka. Saya juga mempunyai perasaan yang sama seperti mereka sebelum ini, saya memahaminya dan menjiwainya penuh rasa keinsafan - Mudah-mudahan mereka di terima.


Sebuah harapan dan doa

Harapan saya, jangan terlalu mengharap, kerana ia adalah hal ketetapan. Risau akan datan kecewa yang tinggi jika tidak di terima. Saya doakan baik-baik sahaja buat kalian, kerana ini semua adalah rezeki dari Ilahi.  Pintalah pada Allah agar diberi tempat belajar yang boleh menambah iman dan taqwa pada Allah. Tidak kira di mana sahaja kalian berada, ilmu dipelajari bagi mengangkat kejahilan dan menambah taqarrub pada Allah. Ulang-ulanglah doa ini pada Allah, dalam sujud dan di mana sahaja kalian berdoa. Untuk dapat sesuatu yang mahal kalian perlu tempuhi jalan yang susah.

Saya pernah diberi nasihat satu ketika dulu oleh murabbi yang sangat saya sayangi, " Danial, kita sering doa agar Allah beri apa yang kita mahu, tetapi kita lupa untuk berdoa agar Allah beri yang terbaik untuk kita. Berdoalah agar menerima sesuatu yang mana terbaik di atas pilihan Allah, kerana Allah itu maha tahu, dan Dia sangat tahu mana yang terbaik untuk hamba-hamba Nya. Allah maha sayang, Allah akan letak di tempat yang baik-baik untuk hamba Nya yang soleh walaupun kita ada pilihan lain dan ia berbeza dengan kehendak kita. Semoga berjaya - Berdoalah dengan penuh yakin!

Sunday 14 April 2013

Ujian Tuhan di Kota Bercahaya



Al-Kisah Madinah

Kerana ujian itu, banyak mengubah kehidupan ~

Hampir satu hari saya bersama seorang rakyat Malaysia yang berkerja di Jubail, Arab Saudi. Beliau datang mengerjakan umrah dan singgah selama 3 hari di Madinah. Hari ini adalah hari terakhir beliau di Madinah tetapi musibah telah menimpa beliau ,dompet beliau telah hilang setelah menziarahi maqam Rasulullah saw selepas solat subuh hari ini.

Saya dihubungi sahabat, anak angkat kepada beliau untuk turut membantu menyelesaikan masalah, tanpa membuang masa, kami terus ke Masjid Nabawi untuk bertemu beliau dan berjumpa dengan polis. Banyak perkara yang ada dalam dompet tersebut, Kad pengenalan saudi(iqamah), lesen kereta, kad milik kereta(istimarah), kad-kad bank , kad kredit, duit dan lain-lain.

Beliau bersama keluarga akan bertolak pulang ke Jubail pada harini yang mengambil masa lebih kurang 12 jam dengan menaiki kereta, tetapi dengan kehilangan semua barang-barang penting seperti lesen kereta menyebabkan kesukaran ke atas beliau meneruskan perjalanan.Terpancar dari wajah kesusahan beliau walaupun saya yakin beliau orang yang tabah dan sabar.

"Haji sabar ya, inshaAllah jumpa tu..." Saya cuba menggembirakan dan menenangkan dengan mengurut bahu beliau sambil menyimpulkan sedikit senyuman....

Saya tahu musibah ni sangat berat buat beliau. Bukan mudah menerima susah dan bukan senang mencari tenang. Dalam waktu itu saya mengenang kembali waktu saya di timpa ujian pada tahun lepas. Seluruh beg dompet saya hilang di Masjid Nabawi di waktu final exam telah bermula. Masa tu saya mengulang pelajaran di maktabah masjid, dan menyedari kehilangannya ketika mahu menunaikan solat isyak. Aaahh sangat gelisah ketika itu, esok saya ada exam? Seluruh isi penting dalam dompet telah hilang termasuk kad pelajar yang perlu digunakan untuk ke dewan peperiksaan.

Kami singgah sarapan di sebuah restoran dan mulakan pengenalan. Saya sempat bercerita apa yang pernah berlaku pada saya agar beliau tahu ada insan lain juga yang pernah di uji di sini, iaitu saya sendiri.

"Haji... Beginilah kehidupan di madinah, kita akan di uji dengan kesusahan, Tapi Nabi saw mahu memberikan syafaat dan saksi bagi mereka yang sabar atas kesusahan tersebut..." Saya cuba menceritakan dengan penuh perasaan kerana saya juga pernah merasai susah seperti yang beliau pernah rasai hari ini... Saya faham beliau sangat pedih dan sedih tapi kita sebagai hamba ubatnya bertemulah Allah dan berdoalah sambil merintih....

Kehilangan dompet saya pada tahun lepas di Masjid Nabawi telah menyebabkan banyak kehidupan saya berubah. Rupanya Allah nak beri satu perkara lain. Memang benar Allah maha sayang. Dia ambil Dia beri. Maha suci Allah dari menzalimi hamba Nya. Saya terbaring atas katil dan menangis sepuas-puasnya atas apa yang terjadi. Hampir setiap hari saya hubungi polis untuk bertanya khabar jika ada apa-apa laporan. Jika saya menghubungi dan polis menjawab "masih tiada", saya rasa perit sangat. Mana tidaknya jika tiada kad pengenalan saudi itu bagaimana saya mahu pulang ke Malaysia kerana saya harus menukarnya dengan pasport. Tambahan pula,
hanya ada beberapa minggu lagi saya akan bermusafir ke tanah air.

Inilah kejadian yang banyak mengubah diri. Tambahan pula waktu kesusahan itu berlaku, saya telah bertemu satu buku yang banyak mendidik diri untuk kembali mengingati DIA dan kembali kepada DIA. Sejak itu saya rasa tenang dan damai. Kehilangan itu buat saya tersenyum bahagia kerana Allah telah membuka pintu hidayah untuk kembali kepada Nya. Saya pernah berdoa " Ya Allah, jika kehilangan ini penyebab Kau mahu memberi iman maka janganlah kau temukan ianya semula, aku bimbang aku akan melupai Mu semula jika ia kembali kepada ku "

Tepat waktu solat asar, segala urusan untuk beliau musafir ke Jubail selesai. Sepanjang hari bersama beliau untuk membantu menyelesaikan masalah telah dimudahkan oleh Allah swt, Memang penat, tapi rasa puas sangat dapat bantu orang lain, sambil-sambil muhasabah dan mengingati semula apa yang pernah berlaku pada saya.

"Haji... InshaAllah jumpa tu, Saya doakan... " Erm.. Nak buat macamana Allah nak uji, uji harta, uji nyawa, sambung beliau dengan senyuman tanda beliau tabah menghadapi ujian....

Banyak ujian di bumi Madinah ini yang mesti dilalui, ramai yang mahu hidup di sini, tetapi tidak ramai yang tahu ada susah yang bakal menanti dan belum tentu boleh menahan segala ujian dan cabaran...

"Ya Allah moga tarbiyah madinah ini dapat mendidik hati dan jiwa untuk mendekati Mu dan menjadi penguat menghadapi apa jua mehnah yang bakal mendatang...."

Ya Allah... Aku menyayangi bumi kekasih Mu...

Madinah Al-Munawwarah
13 April 2013

Tuesday 19 February 2013

Sentuhan Sahabat


Alhamdulillah thummal hamdulillah thummal hamdulillah.

Syukur pada saat ini saya masih lagi diberi kekuatan oleh Allah swt untuk mencoret sesuatu. Rasanya telah jauh masa meninggalkan saya, pelbagai perkara telah saya lalui, suka duka semuanya di tempuhi dengan redha dan tabah. Tidak sangka sudah 3 minggu abah telah meninggalkan kami sekeluarga dengan kematian yang mengejut, siapa sangka abah baru berumur 52 tahun. Saya yakin Allah lebih menyayangi abah dan pasti ada hikmah di sebalik yang berlaku. Apa yang menjadi kejutan saya lagi adalah ia berlaku ketika saya masih berada diperantauan yakni di kota Madinah Al-Munawwarah.

Ketika berita ini sampai, saya sedang menyertai kursus pengajian di Masjid Nabawi. Saya azam agar dapat memberi komitmen yang baik dalam kursus ini. 2 hari sebelum berita ini sampai, ada berita lain yang mengejutkan saya lantas saya meninggalkan pengajian kerana tidak tahan sebak dengan beritau itu. Rupanya saya di beri ujian lagi, 2 hari selepas itu, pada waktu subuh saya mendapat berita yang abah telah pun kembali kerahmatullah. Seperti tidak percaya, kerana masa itu waktu solat subuh baru masuk dan saya baru terjaga dari lena dan terus membaca di pesanan ringkas. Ternyata berita itu benar.

Selama ini saya hanya mendengar ianya berlaku pada orang lain, tapi hari ini ia telah pun berlaku pada diri saya sendiri. Saya senyum, tapi jauh dalam lubuk hati saya, saya hiba dan sedih, tapi saya percaya bahkan yakin semuanya sudah di atur oleh Allah yang maha mengatur segalanya, Maha suci Allah dari menzalimi hamba Nya, dan Dia sentiasa kasih dan sayang pada Hamba Nya melebihi kemurkaan Nya. Moga hati saya terus tabah melalui semua ini.

Ketika ini, saya mula memahami apa makna sahabat. Selama ini sahabat yang difahami adalah secara maknawi atau sekadar makna permukaannya sahaja, tapi kali ini saya mula memahami pengertian sahabat bahkan saya mulai sedar peranan sahabat dalam hidup sangat penting. Ketika saya susah dan ditembah resah, sahabat lah yang hadir memberi bantuan. Bukan bantuan dari segi kewangan sahaja bahkan bantuan nasihat dan motivasi memberi semangat agar bangun dan bangkit semula. 

Semasa berita kematian bapa saya mula tersebar, saya mula mendapat pesanan ringkas SMS dari kawan-kawan yang mengenali, bahkan di ruangan chat facebook. Saya menulis status di facebook, dan ramai kawan yang memberi ucapan takziah dan memberi pesanan agar sabar dan tabah. Apa yang membuat saya kuat lagi bila ada sahabat-sahabat juga yang menghubungi saya secara terus. Saya dapat rasakan sahabat yang menghubungi saya ada rasa mengambil berat serta menyayangi.

Saya sempat menghubungi orang yang saya sayangi untuk memberitahu tentang kematian ini, semuanya terkejut dan hiba dengan berita. Ketika ini saya nampak siapa itu kawan dan siapa itu sahabat. Orang yang pernah menyatakan sayang kepada kita kerana Allah itu akan dapat kita kenal samada benar atau tidak bila kita melalui jalan susah dan resah. Baru saya tahu dia bukan sayang saya kerana Allah, dia bukan cinta saya kerana Allah dan dia bukan murabbi yang saya cintakan kerana Allah bahkan itu hanya ucapan yang belum dibuktikan dengan perlakuan.

Alhamdulillah rata-ratanya adalah kawan yang baik walau mereka belum saya gelarkan sebagai sahabat. Ketika inilah peranan sahabat di ambil dengan baik. Seorang sahabat bahkan seperti seorang abang telah mengambil peranan penuh kasih sayang. Pada hari yang sama ketika kejadian saya di bawa menziarahi bandar madinah melihat tempat bersejarah. Hari ini juga rakyat di tanah air sedang menyambut hari kelahiran Nabi saw. Begitu hiba tetapi di sapa bahagia kerana ketika ini saya sedang hidup di kota yang bercahaya.

Semasa saya menemui kawan dan sahabat ada seakan sebersalah mendekati saya kerana bimbang saya sedih dengan pertanyaan kematian bapa. Kata mereka mahu membiarkan saya reda dan tenang dahulu. Ada sahabat yang sekadar memberi ucapan tanpa kata-kata semangat, bukan kerana mereka tidak mahu tapi mereka malu bahka tidak biasa. Apa-apa pun saya bersyukur pada Allah kerana di kurniakan sahabat-sahabat yang baik. Semoga Allah membalas Segala doa dan kebaikan mereka untuk saya.

" Ya Allah berilah aku cinta Mu, berilah aku cinta kepada orang yang mencintai Mu, dan berilah aku cinta pada segala sesuatu yang mencintai MU.... "