Tuesday 25 December 2012

Mencari bahagia disebalik sengsara



Amir baru pulang dari kuliah, kebetulan melalui jalan yang dekat dengan bukit, sebelum itu Amir singgah berjumpa dengan rakannya dari syiria yang juga satu kuliah bersama Amir. Mereka singgah di satu sudut dan berborak seketika. Semasa berborak mesra, Amir sudah pun perasan yang Ibrahim berada di atas bukit, selesai berborak bersama rakannya, Amir terus mendekati Ibrahim dan bertanya " Assalamualaikum, dari tadi ana melihat anta termenung jauh, kenapa ya Ibrahim?"  Ibrahim seakan tidak menyedari kehadiran Amir, sedikit pun mukanya tidak berpaling kearah Amir, matanya memandang jauh ke suatu sudut, matanya merah dan basah seakan baru lepas menangis panjang.

 Pada waktu ini Amir dan Ibrahim berada di satu bukit di kawasan universiti, tidak tinggi cuma suasana di sini tenang dan berangin, tambahan pula sekarang sudah masuk musim sejuk. Kebanyakan pelajar mengenakan "baju panas" tatkala keluar dari asrama.. Mungkin Ibrahim memilih bukit ini untuk dia meluahkan sesuatu serta melapangkan fikiranya, bisik Amir idalam hati. Tangan Amir mula menyentuh lembut ke bahunya, lalu Amir panggilnya buat kali kedua, "sahabatku Ibrahim, sudah lama anta berada di sini, kaifa haaluka?"

Secara pantas tangan kanan Ibrahim terus memegang tangan Amir, "Masya Allah, anta Amir! sungguh, ana tidak perasan kehadiran anta, ana? macam biasalah sihat alhamdulillah, cuma iman ini "kurang sihat", balas Ibrahim dengan nada yang kurang semangat tidak seperti sebelumnya. Ibrahim seorang yang ceria dan peramah. Tapi hari ini dia muram. Wajahnya terus berpaling dari wajah sahabatnya Amir, dan berpaling ke suatu sudut yang dimenungkan sejak tadi, raut wajahnya muram, dahinya seolah berkedut seribu. "Iman kurang sihat", bagaimana tu Ibrahim?" Tanya Amir kehairanan

 "Amir, anta lebih tahu jika iman lemah macam-macam sering tak jadi, hati sentiasa gelisah, jiwa rasa resah, ada sahaja perkara tidak kena. Aku sengaja ke sini untuk rehatkan minda dan menungkan perjalanan yang masih panjang". Amir mengambil kesempatan ini untuk bersama Ibrahim, dan mahu mendengar masalah yang di hadapinya. Sebagai sahabat rapat beliau, Amir mesti lakukan sesuatu untuk membantu dia menyelesaikan masalah, kata pakar motivasi " Jika mahu bahagia, mesti bahagiakan orang lain".

Sejuk dan indah sekali pemandangan di sini, di Kota Madinah banyak sekali sirah dan peninggalan sejarah. Di sinilah Nabi Muhammad saw dan para sahabat bermati-matian menumpahkan darah demi kalimah syahadah. "Untung sekali kita Ibrahim kerana Allah swt telah pilih kita belajar di sini". Rupanya Ibrahim telah kembali menyambung semula untuk terus termenung. Hati Amir berbisik lagi, kali ini doa yang menyapa,

 "Ya Allah mudahkanlah urusan sahabat yang ku cintai kerana Kau ini, tenangkanlah hatinya, berilah dia jalan penyelesaian untuk terus menuju Mu Wahai Tuhan..." Amir aminkan penuh yakin bahawa Allah akan memakbulkan. Bismillah, Amir terus mendekati Ibrahim dengan lebih rapat, kali ini Amir mengambil posisi duduk di sebelah kanan beliau, terusan Amir memeluk bahu Ibrahim dan memujuk beliau untuk menceritakan apa yang sedang dihadapinya.

"Ibrahim, ana sudah kenal anta lama sejak sekolah menengah lagi, kita sentiasa berkongsi suka dan duka bersama dan Allah masih temukan kita di Universiti ini untuk menyambung pelajaran. Dari Jauh kita datang meninggalkan tanah air, sudah pasti ada perkara penting yang kita mesti lalui, di sini kita ada amanah menuntut ilmu. Esok hari kita di amanahkan pula menyampaikan dan menjadi pendakwah di medah sebenar". Kelihatan kepala Ibrahim mengangguk-nangguk tanda setuju.

 "Benar kata anta, bahkan inilah tujuan dan niat ana sebelum ana ke sini, ana sangat mencintai ilmu dan kebenaran. "Ana sedang mujahadah Amir! tapi... "Tapi apa Ibrahim, boleh anta kongsikan masalah yang anta sedang hadapi? Amir perasan air mata Ibrahim sudah mula membasahi pipinya, ah... "aku juga seorang yang mudah menangis dan terasa, tapi aku mesti paksa untuk jadi lebih kuat kerana pada kali ini aku berazam akan bantu Ibrahim selesaikan masalahnya, kata Amir penuh tekad.

"....tapi aku sering jatuh, aku selalu kalah... kadang-kadang aku jadi penat dan lelah, bukan aku tidak minta pada DIA, bahkan aku sering menangis meminta-minta... Suara Ibrahim tersekat-sekat kerana dia sudah mula ke tahap menangis. Aku cuba memahami, tapi aku belum lagi mengerti apa yang Ibrahim maksudkan sebenarnya. "Amir, ana merindui saat ketenangan, ana telah jatuh banyak kali, dan tidur dari lena yang panjang.

 Akhir semester lepas banyak mengajarku erti kehidupan, ana dah bangun hasil ketukan dari Tuhan, tapi kali ini ana gagal lagi. " Ana penat Amirl!" "Ibrahim, boleh perincikan masalah yang anta hadapi?" aku terusan cuba membaca dan memahami Ibrahim. Aku cuba mempelajari sifat simpati dan empati, bukan kerana aku baik, tapi seakan Allah hantar aku untuk jadi "alat" menyelesaikan masalah beliau.

"Baiklah, disebabkan anta sahabat yang ana percayai, teringin sekali ana meluahkan pada anta apa yang ana sedang hadapi" "Ya, ya ana sedia mendengar Ibrahim, ceritalah ana janji akan jadi pendengar yang setia. "Amir ana mengakui bahawa setiap insan ada masalah, setiap insan ada dosa dan silap,aku mengakui perkara itu.

Ana sedar ini semua kerana dosa yang telah ana lakukan. Ana tidak marah pada Tuhan, tapi ana kecewa dengan sikap ana sendiri. "Amir, anta tahu, sudah berapa kali ana berdoa dengan Tuhan yang ana mahukan perubahan, ana menangis-nangis merintih pada Allah minta DIA berikan kekuatan, tapi ana jatuh lagi, dosa? tidak perlu ana ceritakan pada anta, biarlah Allah sahaja yang tahu. "Ana sudah melalui dan merasai jalan mujahadah itu. Jauh dari lubuk hati ana mahukan perubahan.

Akhir-akhir semester lepas, ana ditimba musibah, ana yakin ini adalah ketukan hidayah dari Allah untuk bantu ana berubah. Ana membalas ketukan itu dengan taubat dan istighfar. Musibah ini benar-benar membuat ana bangun dari lena yang panjang. Selepas itu, Ana di temukan dengan seorang "insan" yang sangat baik, seoalah-olah ia kurnian dari langit untuk bantu ana teruskan perjuangan. Tidak jemu-jemu "insan" ini memberi kata-kata yang baik dan mendoakan kejayaan ana demi menuju Tuhan.

Aku terus khusyuk mendengar cerita Ibrahim, sekali sekala aku mengosok lembut di belakang badan Ibrahim bagi meredakan tangisannya. "Siapakah "insan" itu Ibrahim? Ibrahim tidak menjawab pertanyaanku, aku membiarkan saja tanpa memaksa untuk terus mendengar ceritanya. Kesedaran itu telah buat diri ana bahagia menemui Tuhan. Rupanya selama ini ana telah diselimuti zulumat dan dosa. "Ahh...bahagia sekali waktu itu, kehidupan ana berubah selepas mendapat ketukan hidayah.

"Anta tahu, solat ana jadi lebih tenang, ana telah menjadikan Masjid Nabawi untuk meluahkan rasa dan kata, berbeza sekali dengan sebelum ini, hati ana jadi lunak dan mudah menangis. Sejak musibah itu melanda banyak pengajaran yang ana pelajari, dan sejak itu ana sudah bertaubat dari dosa yang pernah ana lakukan selama ini. "sebelum pulang bercuti ke tanah air, ana mengambil peluang untuk ke raudhah untuk bermunajat pada Allah, sehingga tibalah waktu ana pulang  ke tanah air, ana masih ingat lagi, semasa perjalanan ana menaiki tangga flight ana sempat menoleh ke belakang melihat madinah buat kali terakhir. Dalam hati ana berdoa, moga Allah swt beri ana kesempatan lagi untuk hidup di Madinah. " Ya Allah, aku hanya pulang bercuti, berilah aku kesempatan lagi.. "

"Ibrahim, ana kagum dengan perjalanan mujahadah anta, moga Allah sentiasa memberkati dan menyayangi anta.." "Amir, sepanjang cuti lepas, ana sangat gembira dan bahagia. Allah temukan ana dengan orang yang ana sayangi iaitu ibu dan ayah serta adik beradik. Allah masih izinkan ana mencium dan memeluk mereka. Selain itu, banyak aktiviti yang Allah swt telah temukan ana untuk ana baiki diri dan hati. Jumpa dengan guru, sahabat dan saudara-mara sangat menyenangkan hati ana.

 Sepanjang cuti lepas, ana puas beraktiviti, dan memberi khidmat pada keluarga. Sekali-sekala rasa rindu pada madinah menyapa, bila lihat di kaca televisyen bercerita mengenai 2 bumi barakah mekah dan madinah, ana akan rasa sebak dan mula mengeluarkan air mata. "Ya Allah aku rindukan mekah dan madinah...." tangisan jiwa meronta-ronta. Rindu ini anugerah, syukur Allah beri rasa rindu pada perkara yang baik.

Semenjak berada di tanah air lagi, ana sudah rindukan untuk menunaikan haji dan umrah, masa itu ana sangat rindukan untuk menunaikan haji, ana sudah tanam azam sungguh-sungguh untuk jadika haji ini sebagai tempat ana mendekatkan diri pada Allah. Ana mahu dapatkan haji mabrur dan kesan itu buat diri ana berubah dan terus dekat pada Allah. Semester lepas ana gagal mendapat cemerlang dalam peperiksaan, itulah antara musibah yang menjadi ketukan pada ana untuk ana bangun dan bangkit.

 Di tanah air lagi ana telah mendapat kehidupan yang tenang dan puas bersama Tuhan. "Amir, anta tahu, sepanjang cuti lepas, ana tidak pernah tinggal solat tahajjud" ana sudah berazam setiap satu hari ana mesti bekalkan kekuatan jiwa dengan lelehan air mata. Ana wajibkan pada diri ana untuk menangis paling kurang satu hari satu kali. Masih ingat lagi ana pada malam itu ana berjanji pada Allah untuk berubah dan bertaubat. "Wahai sahabatku Amir sungguh tenang sekali waktu itu..."

Pada bulan ramadhan yang lepas, ana ambil peluang lagi untuk terusan mendekati Tuhan, ana sudah berazam dari awal ramadhan lagi untuk cari masjid yang sesuai untuk beriktikaf di 10 malam terakhir. Akhirnya ana menemui satu masjid yang menyimpan seribu kenangan di sana. Di sana banyak yang ana pelajari. Nilai kehidupan seorang insan yang bernama dai banyak ana perolehi di masjid ini. Sampai sekarang ana masih merindui masjid itu dan ia terusan tersimpan di benak fikiran. Banyak masa yang ana luang di sana untuk bersama Tuhan. "Semoga Allah terima amalan ana sahabat." Amir aminkan bersama  mahu pun di dalam hati. Amin Amin..

Tibalah waktu pulang ke kota bercahaya...

Alhamdulillah, Allah masih beri keizinan untuk ana hidup di Madinah. Ana telah selamat sampai ke Madinah dan esoknya ana terus ke Masjid Nabawi kerana terlalu rindu. "Amir, tidak lama ana di sini ana di uji lagi, "Ya Allah rupanya ana telah jatuh dan kalah lagi". Azam ana seakan musnah dan hancur. Apa yang ana idamkan sudah hilang sekelip mata, ana seakan lupa janji dan peristiwa malam-malam syahdu bersama Tuhan. "Ah.... ana kalah lagi, tapi jauh dalam lubuk hati ana tidak mahu mengalah.." Tapi ana seakan penat amir...

Ana dah puas merintih pada Allah, tapi kenapa ia seakan tidak menjadi, bukankah tanda taubat seorang itu diterima dia tidak akan mengulang lagi dosa itu? Taqwa ini seakan pudar kembali, kemanisan iman telah menjadi tawar hari demi hari. " Ana jadi lemah dan lupa bahawa ana telah berazam sekembalinya ana di sini ana bertekad untuk membina kehidupan dan nafas yang baru. Hampir sahaja ana sampai ke puncak menaiki gunung yang sangat tinggi itu, dan ana jatuh semula tanpa sempat menyentuh sedikit pun dipermukaan puncak gunung.

" Ahh.. ana penat sekali Amir, apa yang tidak kena dengan diri ana? adakah ana kurang ikhlas dalam taubat ana? apakah ini semua.. Ana rindukan ketenangan itu. "Ibrahim, Allah sedang menguji mu, anta seorang hamba yang bernasib baik kerana Allah masih memberimu hati yang tidak 'jemu' memohon ampun dan taubat pada Allah". Walaupun anta jatuh dan kalah, tapi Allah masih kurniakan anta hati yang masih merasa ingin berubah dan bermujahadah.

"Ana cuba memahami apa yang anta lalui, ana juga melalui perkara yang sama, iaitu ingin selalu berubah jadi baik, sebab itu kita sentiasa kena berkata " kita bukan orang yang baik, tapi sedang bermujahadah untuk jadi baik". Sabarlah sahabat, Allah tidak jadikan semua ini sia-sia, Allah sedang bersama mu setiap masa dan ketika, Allah menyayangi kita lebih dari seorang ibu yang paling penyayang di dunia ini. Allah tidak menzalimi kita, bahkan Allah sayang pada kita dan mahu kita kembali dan dekat pada Nya.

Mungkin ini tarbiyah yang Allah mahu beri pada anta agar anta lebih kuat dan tabah. "Tapi ana penat Amir!!... " Ibrahim seakan merungut keras.." Siapakah lebih penat dari Nabi saw dan para sahabat? Mereka telah tergolong dalam kalangan yang Allah redha, hubungan mereka lebih dekat dengan Allah, ibadah mereka lebih berganda dari kita, juhud mereka lebih padu dan susah payah mereka lebih penat dari kita, tapi mereka tetap di uji dengan kesusahan dan kepayahan.

Ramai dalam kalangan mereka termasuk dalam golongan yang miskin dan susah. Kehidupan mereka tidak seperti kita, makan dan minum mereka hanya apa yang ada, jika tidak ada mereka berpuasa. "Anta tahu nikmat iman dan Islam ini adalah asbab dari jerih payah mereka, berperang menggadaikan nyawa dan darah demi talian syahadah. "Demi Allah mereka bahagia di sisi Tuhan mereka"...

"Amir, bantulah ana untuk bangun semula, ana sedar dan mengaku bahawa ana sedang di uji dan syaitan sedang mengambil peluang untuk menjatuhkan ana serta menarik ana bersama mereka ke neraka jahannam. "Ana menyedari itu wahai sahabatku Amir!.." Tapi ana tidak kuat, kadang-kala ana semangat kadang kala ana lemah. Ana sering menangis seorang diri, mengenangkan masa lampau yang telah jauh pergi, jauh dan jauh meniggalkan kita, yang tinggal baki hari dan hari esok yang belum pasti. Puas ana pujuk hati dan kawal nafsu agar taat dan patuh pada Allah..

"Wahai hati, kembalilah pada pencipta hati..." Ana bukan tidak faham taqdir dan tadbir, semua itu sudah dipelajari, tapi kita sering alpa dan lalai. "Amir sahabatku, doakanlah ana, agar ana kuat untuk bangkit dan bangun dari lena yang panjang...." Amir tidak tahan mendengar kata-kata itu lantas memeluk erat sahabatnya Ibrahim dan sama-sama merasai apa yang di alami Ibrahim. Sedar tidak sedar Amir juga dibuai rasa sebak dan menitiskan air mata.

Begitulah perasaan sahabat yang menyayangi sahabatnya kerana Allah, suka dan duka diharungi bersama. Tidak sesekali mahu meniggalkan sahabat yang  merasa duka dan lara, resah dan gelisah sendirian. "Amir, berjanjilah padaku, bahawa anta akan bersama ana selama kita belajar di sini, sungguh ana katakan ana mahu bangun semula, "bantu dan tolong ana ya" Sama-sama mereka mengesat air mata dan menggenggam tangan erat demi membina satu rasa untuk meneruskan perjuangan.

"Sabahatku Ibrahim, sudah pasti ana bersama anta, semua ini kerana Allah, moga-moga anta kuat dan tabah melalui semua ini, ana yakin Allah sedang menyayangi anta, percayailah, yakinlah dan bangunlah... ana bersamamu dan yang lebih penting Allah bersama kita, moga-moga Allah redha persabahatan kita dan temukan kita sekali lagi di syurga nanti. Amin..

Petang itu sungguh syahdu sekali, Amir puas mendengar perasaan, rintihan dan luahan sahabatnya Ibrahim. Sesekali angin meniup ringan seakan mengiringi dan seoalah menjadi satu kiriman khas dari Tuhan buat kami. Matahari makin menyinari pada petang itu, cahaya matahari yang di lihat dari arah bukit itu menjadi bukti kami bercinta dan berkasih sayang kerana Allah.

Ya Allah ampunilah kami, sayanglah kami, kasihanilah kami, dan berilah hidayah pada kami. Bisik Amir dalam doanya.. Ini pesan ana untuk anta Ibrahim "Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh bangun lagi! "

Tiba-tiba hati Ibrahim di sapa kata  "Alangkah bahagianya aku jika "insan" itu datang lagi.... "

Saturday 3 November 2012

Wahai Tuhan kembalikanlah ketenangan...

 

Sudah sekian lama saya tidak meluangkan masa untuk terus menulis dan mencoret. Terasa rindu untuk meluahkan rasa dan kata. Menulis bukannya mudah, perlu mencari masa yang lapang dan hati yang tenang. Jika tidak, menulis akan menjadi perkara yang sia-sia kerana tidak memberi impak yang baik. Syukur pada waktu ini Allah masih memberi kesempatan kepada saya untuk mencoret sesuatu. Pejam celik sudah 2 bulan saya berada di Madinah sejak pulang cuti yang lepas.

Cepat benar masa yang berlalu, semuanya terjadi sepintas lalu seoalah rasa tidak sedar apa yang telah berlaku. Maha suci Allah dan Segala puji bagi Allah swt kerana dengan izin Nya saya baru selesai melaksanakan rukun Islam yang ke lima iaitu menunaikan haji. Madrasah haji adalah madrasah tarbiyah yang sangat dasyat dan hebat. Subhanallah. Terlalu banyak perkara yang dipelajari sepanjang melaksanakan haji. Rupanya ada lagi madrasah yang lebih hebat selain madrasah ramadhan. Syukur pada Allah kerana pada usia muda Allah telah memilih saya untuk melaksanakannya. Allah Allah.

Ya Allah kembalikanlah ketenangan....

Titisan air mata ini sering berderai tatkala mengingati Nya dan hari yang bakal di pertemukan dengan Nya di alam barzakh dan padang Mahsyar kelak. Banyangan dosa yang begitu banyak membuatkan hati rasa sebak untuk terus memohon keampunan kepada Nya. Namanya seorang insan, ia pasti akan alpa dan lalai, berkali-kali janji tidak mahu mengulangi tapi tetap juga mengingkari, tetapi Allah tetap menyayagi dan memberi rasa simpati.

Ketenangan yang dulu diusahakan seakan-akan sudah mula menghilangkan diri dan pudar. Wahai Tuhan apakah ini semua ujian yang menentukan? Iman yang ini makin luntur, dulu ianya manis, sekarang rasanya sudah mula rasa tawar. Ibadat sunat sudah pun mula berkurang dek iman yang semakin lemah dan merudum. Ya Allah, iman pada Mu ini lebih berharga dari segala harta dan mutiara, bantulah kami menjaganya dengan baik sampai kami bertemu dengan Mu kelak, ya Allah bantu kami, tolong kami.

Kadang kala mesti pernah merasa Allah seperti tidak lagi menyayangi kita, rasa mahu putus asa dari mendamba cinta padanya. Penat dan lelah yang kita usahakan seakan jatuh begitu sahaja, maka soalan bisikan syaitan datang menerjah dalam ruangan kosong " wahai teman, Tuhan tidak lagi menyayagi mu lagi, Tuhan sudah tidak percaya akan janji mu yang sering dusta " soalan ini seakan menjadi jarum yang menerjah dalam ruangan hati. Hati memaksa tolak dengan berkata " Ya Allah, benarkah aku tidak lagi disayangi lagi oleh Mu?" tiba-tiba menitislah air mata tatkala merasa perasaan yang terlalu hiba, siapa tidak takut jika Allah tidak lagi menyayangi kita, dan Allah tidak lagi peduli kita di dunia ini.. Ya Allah siapalah kami tanpa Mu.

Perjalanan mujahadah dan susah payah mencari redha Allah itu bermula lagi, diri ini seakan bangun semula dari kelekaan dan kealpaan untuk terus menuju Tuhan demi satu tujuan iaitu mencari nilai iman. Ya Allah berilah kami peluang sekali lagi membaiki diri dan menginsafi apa yang sudah kami lalui. Kami menyedari begitu banyak kelalaian yang kami sudah perbuat, seakan kami tidak megerti apakah erti janji pada Pencipta yang telah menciptakan kami. Ya Allah dengan nama Mu yang indah, arrahman dan arrahim, kasihanilah kami, kami hamba Mu yang lemah, adakah Kau akan menyiksa kami dalam api neraka seburuk-buruk tempat berakhir?

Begitulah kehidupan seorang insan, tak terlepas dari ujian. Ujian perasan, ujian harta, ujian takhta dan pelbagai lagi. Allah mencampakkan ujian ini untuk menguji sejauh manakah iman kita pada Nya. Adakah kita benar-benar beriman? dan Allah juga mahu meningkat darjat kualiti iman kita pada Nya. Selalulah mohon bantuan dari Allah untuk mentaatiNya dan menjauhkan segala larangan Nya. Bagaimana hubungan kita dengan Tuhan pada waktu ini, hati dan rasa anda mampu menjawabnya.

Ya ALLAH kembalikanlah ketenangan.......



Thursday 4 October 2012

Kehidupan di Madinah bukannya mudah penuh mujahadah




Kehidupan di Madinah Al-Munawwarah bukannya mudah penuh dengan jalan mujahadah. Tapi Tatkala mendengar tentangnya pasti terbayang suasana yang indah, tapi disinilah dulu letaknya jalan susah payah Nabi saw mentarbiyah para sahabatnya. Segala bentuk pengorbanan dan perjuangan banyak telah terjadi di bumi ini. Wahyu dari Ilahi telah diturunkan di sini juga selepas Mekah Al-Mukarramah, maka dengan itu Madinah Al-Munawwarah telah di angkat sebagai tempat suci umat Islam, dan menjadi tempat rindu-rinduan bagi yang mereka mengenal cinta sejati iaitu cinta Ilahi.

Madinah bukanlah bumi yang asing lagi bagi seluruh umat Islam, tatkala mendengar namanya rasa rindu dan cinta seakan datang menyelusuri badan dan aliran darah. Berlinang air mata basah mengingati akan kehebatan dan keajaiban di di sana. Amat beruntunglah bagi mereka yang telah dipilih oleh Allah swt untuk hidup di sini. Merasani suasana kehidupan yang pernah di lalui Nabi saw dan para sahabat. Walaupun mereka telah tiada sebahagian dari tapak tempat mereka berjuang dan berkorban demi Islam masih ada dan menjadi tempat kunjungan umat Islam, demi mendapat ‘ibrah dan secebis keinsafan. Wahai insan pilihan Tuhan sudahkah kamu merasa keinsafan dan kesyukuran atas nikmat Tuhan?

Antara cabaran yang perlu ditempuhi bagi mereka yang hidup di Madinah Al-Munawwarah ialah bersabar dan tabah. Nabi saw telah bersabda dalam hadis yang mulia mafhumnya :

“ Tidaklah seseorang dari umatku yang bersabar atas kesukaran di Madinah kecuali Aku (Nabi saw) akan memberinya syafaat dan saksi di hari Kiamat “.  Sahih Al-Bukhari

Begitulah sabar telah menjadi kunci bagi penduduk Madinah untuk mendapat syafaat dan saksi di akhirat nanti. Memang benar, selama diriku di sini, banyak perkara yang telah menguji kesabaran dan aku  terus menerus mendidik hati untuk tabah menghadapinya. Benarlah sabar itu satu perkara yang sangat sukar di amalkan. Tetapi bagi mereka yang bersabar atas mentaati perintahNya, dan menghindari maksiat, Allah swt telah berjanji untuk mengangkat darjat mereka. Ya Allah jadikanlah aku daripada orang-orang yang sabar.

Baru-baru ini saya bertemu sahabat lama berbangsa arab di Masjid Nabawi, seronok bersahabat dengan seorang arab warga negara saudi ini, tetapi beliau lahir di Mekah dan dibesarkan di sana. Saya sudah mengenali beliau sejak tahun 2010 semasa saya berdaurah di Mekah. Selepas solat maghrib di Masjid Nabawi kami bertemu, saya menceritakan keadaan madinah dan budaya orang arab yang kurang baik. Dia sangat memahami dan senyum tanda setuju. Saya menceritakan padanya tentang musibah yang saya kena lalui di semester lepas, iaitu dompet saya hilang di Masjid Nabawi dan memberi impak besar dalam kehidupan saya.

Katanya "Danial Madinah tidak sama dengan Mekah, sini terzahirnya sifat munafik, saya sudah alami pelbagai peristiwa sejak hidup di Madinah". Ceritanya membuatkan saya takut dan bergetar dan terus berlindung pada Allah swt agar di jauhkan dari sifat munafik dan kejahatan di bumi barakah ini. Syukur kerana saya diberi kesedaran awal berasa di bumi Madinah ini, merasa insaf dan syukur kerana dipilih hidup di sini. Bukan mudah, penuh jalan mujahadah iaitu susah payah.

Kehidupan di sini banyak perbezaan dengan tanah air di Malaysia, dari segi cara hidup, bahasa komunikasi, makan, minum, ragam manusia dan cuaca. Cara hidup orang arab sangat berbeza dengan orang asia, kebanyakan mereka agak kasar. Bahasa komunikasi di sini menggunakan bahasa arab secara keseluruhan kecuali sedikit yang berbahasa english dan urdu. Selain orang arab, terdapat ramai juga bangsa lain yang datang serta menetap di sini, antaranya bangsa pakistan, india  dan bangladesh. Jumlah mereka agak ramai dan kelihatan mereka seperti majoriti terutamanya di premis perniagaan. Makan dan minum juga agak berbeza, makan disini agaka berat, daging, ayam dan unta menjadi pilihan. Nasi mereka terlalu banyak walaupun di beli untuk seorang makan. Berat badan mudah naik dan penyakit juga mudah datang menyerang.Mengenai cuaca pula, sangat panas pada musim panas dan sangat sejuk pada musim sejuk. Jika musim panas kadang kala mencecah 50 c. Ia memang menguji kesabaran bagi mereka yang hidup di sini.

Terlalu banyak perkara yang saya pelajari di sini selain ilmu di Universiti dan Masjid Nabawi. Antaranya pengalaman hidup di sini sukar untuk di lupakan. Bagi saya sendiri ia seoalah menjadi madrasah dan medan tarbiyah bagi seoarang insan yang bermukim di sini. Bagi seorang pelajar seperti saya, saya harus bertungkus lumus mengejar ilmu yang ada di sini semaksimum mungkin, bukan itu sahaja, sebagai seorang muslim, tugas memberi khidmat dan dakwah itu juga perlu di titik beratkan agar semuanya menjadi selari iaitu menuntut ilmu sambil berkhidmat dan menyampaikan kebaikan. Rutin pelajat, setiap hari mesti akan ke Masjid Nabawi, para pelajar universiti tealah disediakan bas, dan ada juga mereka yang menaiki kenderaan sendiri dan menaiki teksi. Bukan mudah untuk paksa diri untuk ke Masjid Nabawi, walaupun hanya lima belas ke dua puluh minit tapi jika jiwa kosong maka hati tidak akan rasa timbul mahu untuk ke sana. Maka hari-hari mesti tanam azam untuk ke Masjid Nabawi mengambil peluang solat, berdoa dan menghadiri pengajian talaqqi.

Demi Allah saya sangat mencintai Madinah Al-Munawwarah yang banyak mengubah kehidupan ini. Madinah seakan tempat ajaib yang padanya banyak kerberkatan yang telah di doakan Nabi saw padanya. Saya selalu pesan dan berkongsi pada kawan dan teman bahawa Allah telah memilih kita untuk hidup dan solat di sini iaitu Masjid Nabawi. Ketenagan dan kedamain di Masjid Nabawi tidak dapat di gambarkan. Di sana ada satu tempat yang mana doa mudah di kabulkan tanpa hijab, bayangkan seorang insan yang amat merindui Tuhannya kerana telah jauh tersasar datang berhadapan dengan Allah di Masjid ini mengangkat tangan berdoa pada Tuhan pasti akan diperkenankan. Jasad Nabi saw juga berada di sini, kelihatan ramai pengunjung yang menziarahi maqam Nabi saw dan sahabat, jelas dari kesungguhan dan raut wajah mereka, mereka amat mencintai Nabi saw. Ya Allah apalah nikmat yang ingin aku dustakan?

Saya sangat berharap Allah swt terus mengekalkan rasa cinta, rasa sedar dan rasa insaf di dalam jiwa bahawa saya sedang berada di bumi yang mana berjuta manusia sedang merinduinya. Saya adalah insan pilihan. Wajarkah saya mengingkari Tuhan? Wajarkah saya punyai rasa kesyukuran? Ya Allah tetapkan hati ini atas rasa kesedaran yang mendalam untuk terus berada di bumi kekasih Mu ini. Wahai manusia ciptaan Tuhan, marilah kita semua bangkit daripada kelalaian dan kealpaan agar sedar dan terus berubah kepada kebaikan mengingati Tuhan. Sementara masa dan waktu masih ada, sementara ruang dan jalan masih terbuka mari lah kita melakukan perubahan khususnya bagi semua penduduk Madinah Al-Munawwarah. Anda mampu, pilihlah mujahadah, kerana di sana sedang menunggu suatu yang indah. Jannah kurniah Allah.

Friday 21 September 2012

Nasihat demi satu tujuan buat semua pelajar baru yang menghampiri saat pemusafiran



  
Akhi, “anta diterima belajar di Universiti Islam Madinah! Nama-nama yang diterima  baru tadi keluar di website Universiti Islam Madinah. Tahniah akhi! “Alhamdulillah… Tapi, benar apa yang anta katakan ini? Balasnya laju untuk mendapat kepastian.  Ya, memang benar, ana tahu sungguh nama anta, kita sekolah hampir 5 tahun, nama penuh anta sudah ana hafal. Allah Allah, menitis air matanya tanpa di sedari, terus di tarik tangan rakannya dan memeluk penuh erat..

Akhi…Demi Allah, ana tidak pernah rasa bahagia dan bahagia seperti hari ini, pelukan mereka semakin erat, ana rasa macam tidak percaya dengan berita ini. Ya Allah.. Telah menjadi amalan orang beriman, dia terus sujud syukur pada Ilahi, dahinya terus tersungkur menghinakan diri, tangisan yang teresak-esak semakin kuat kedengaran, tangannya patuh menghala kedepan, dahi jatuh merebah merasa kesyukuran. Di dalam sujudnya dia berzikir dan berdoa :

“ Subhanallah, wa Alhamdulillah, walaa ila haillallah walla Allahuakbar! Ya Allah…. sudah dua tahun aku menunggu keputusan ini, akhirnya KAU terima juga permohonan ku, Ya Allah… jadikanlah aku hamba yang terusan bersyukur, mengingati KAU dan terusan memperbaiki ibadahku pada KAU ya Allah, Ya Razzaq Ya Rahman Ya Rahim..”
  dia terus merintih dan mengalirkan air mata.

Hello, Assalamualaikum.. dia lantas menghubungi bapanya, Ayah! Ayah! “Saya diterima belajar di Universiti Islam Madinah, tadi kawan beritahu maklumatnya, nama-nama pelajar baru sudah keluar, saya juga sudah lihat sendiri di internet di rumah kawan”.  Ia, syukur Alhamdulillah, anak ayah berjaya sambung belajar sana, mubaarak ‘alayk!” “terima kasih ayah, hari ini saya balik rumah awal ya, nanti kirim salam sama umi tentang berita ini, saya mahu menghubungi ustaz-ustaz dan rakan-rakan yang lain.

Begitulah gembiranya seorang hamba apabila Allah memberi kebahagian padanya, kebahagian perasaan tidak boleh dibeli, ia datang dan pergi dengan kehendak Ilahi, ada masa kita gembira sangat, tapi ada masa kita sedih dan muram sahaja. Itulah Tuhan yang memegang jiwa dan hati manusia. Nabi kita Muhammad sallahu ‘alahi wasallam, sentiasa berdoa dengan doa:

Allahumma Ya Muqallibal Qulub, thabbit qalbi ‘ala diinika wa thaa’atika

Maksudnya : Ya Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama dan ketaatan pada Mu.

Buat mereka yang berada di bumi Nabi dan para sahabat iaitu Madinah Al-Munawarah dan buat mereka khususnya para pelajar baru yang akan tiba, sentiasa berdoalah dan bersyukurlah pada Allah swt akan kenikmatan yang agung ini. Demi Allah, semua ini adalah pilihanNya, dalam berjuta umat manusia, kenapa dirimu dipilih, pasti ia tidak sia-sia. Sebelum semua para ikhwah bertolak ke bumi terpilih ini, baikilah niat, betulkanlah tujuan. Kita insan yang lemah dan banyak kurang, adakala kita leka dan alpa. Apakah tujuanmu bermusafir ke sini? Tanyalah diri, jawablah sendiri, jika benar niatnya, peliharalah sebaik mungkin, jika tersasar kembalikan untuk memperbaikinya.

Niat atau tujuan itu penting, ia seperti berada di pangkal jalan, jika dirimu sesat atau lalai, kembalilah ke pangkal jalan, tetapi jika pangkal jalanmu itupun tidak betul, maka jalan mana untuk dirimu kembali? Soal tujuan bukan soal ranting atau pinggiran, ia sudah menjadi aturan, niat yang baik akan dapat natijah yang baik juga, begitulah ajaran Nabi kita yang mulia sallallahu ‘alaihi wasallam. Ironinya, permulaan jalan yang baik akan membuahkan pengakhiran yang baik, maka itula peri pentingnya mukadimah dalam kehidupan.

Khususnya buat mereka bakal junior yang akan tiba, bersihkan jiwa mu dengan ketaqwaan, isikan hatimu dengan iman, islahkan niatmu dengan tujuan. Mintalah pada Allah akan keampunan, luangkanlah masa untuk memohon taubat, agar hati dan jiwa yang bakal datang ini, lebih tenang dalam lambungan sakinah dan rahmah Tuhan. Bawalah hati yang bersih dan jiwa yang tenang  agar pemusafiran mu kali ini menjadi titik perubahan dalam kehidupan. Perjalanan kita panjang, bukan sahaja di bumi penuh barakah ini, tapi terus ke penghujung jalan sampai ke destinasi bertemu Tuhan.

Ilmu yang dibakal di cari dan di gali nanti terlalu banyak dan melata, dirimu bebas memilih demi menjadikan ianya harta apabila pulang ke tanah air semula.  Ilmu yang akan di tuntut nanti perlukan bekal, tidak cukup dengan tawakal, ingat tawakal mesti berbekal, jadikanlah iman yang teguh, taqwa yang kukuh, jiwa yang tidak mudah luntur sebagai bekal sepanjang pemusafiran dan kehidupan. Agar dirimu terus tabah, hadapilah ia dengan mujahadah walau ada resah dan gelisah. Hidup memang tidak selalu mudah, kerana itu pintalah hati yang tabah dan iman yang kuat untuk menghadapinya.

Saat tiba di Madinah nanti, jangan lupa untuk terus segera ke Masjid Nabawi, ziarahlah seketika maqam Nabi Muhammad sallalahu ‘alaihi wasallam tanda cinta dan rindu pada baginda, selawat dan salam sejahtera selalu ke atas baginda dan keluarga serta para sahabatnya.  Jika ianya menjadi pengalaman kali pertamamu menziarahi maqam baginda, lebihkanlah syukur  kerana Allah telah menjemput dirimu dari yang “beribu”, bukanlah kerana dirimu berharga, bukanlah kerana dirimu orang “berada” dan bukanlah juga kerana dirimu ada takhta, tapi inilah belas kasihan dan pilihan dari yang maha mencipta.

Sebagai pelajar di Jami’ah nanti, pilihlah teman yang baik dan soleh. Jika berkawan dengannya sentiasa boleh menambah iman, dan menambah ilmu, akhlak terpelihara, solat berjemaah terjaga. Bukan menolak tepi kawan yang kurang baik, tapi hanya meletakkan satu garisan agar dirimu lebih terjaga. Lebihkanlah niat juga, agar keburukan kitalah yang boleh mempengaruhi orang lain, itulah tanda jiwamu ada sinar yang sentiasa merendah diri. Itulah sifat, yang padanya ada berkat, hanya yang memandangnya dengan pandangan mata hati sahaja boleh melihat.

Pelbagai cabaran dan ujian yang bakal di tempuhi, dirimu sedang berkhayal, di alam yang tidak nampak, mungkin yang baik-baik sahaja jelas di dalam khayalan dan angan-anganmu. Angan-angan yang baik itu bagus, tapi jangan tertalu tinggi, kerana “Mat Jenin” yang berangan terlalu tinggi telah jatuh dari pokok kelapa yang di panjatnya. Beranganlah, berkhayalah, tidak salah, tapi ketahuilah khayalan dan anganmu tidak semua betul malah mungkin ada salah. Bumi Madinah sudah pasti indah, tapi benarkah tiada yang susah? Insya Allah bekalan niat dan tujuanmu akan memudahkan apa yang susah nanti. Jadilah insan yang sentiasa kuat, kuat iman dan kuat bekerja. Itulah legasi yang sudah lama termaktub dalam kitabullah – Al-Qawiy wa Al-Amin.

Semoga kita berjumpa dengan hati penuh mesra, dan jiwa yang tidak lara, kerana jauh meninggalkan  keluarga, teman dan sanak-saudara. Bergembiralah walau adakalanya ia sukar, ingatlah selalu Allah sentiasa bersama kita, apatah lagi penuntut ilmu yang sedang bermujahadah. Menjadi mujahid ilmu bukan mudah, perlu “berlelah-lelah”. Ingatlah, mujahadah itu memang indah, ianya pahit seketika kerana Allah mahu beri syurga yang manis buat selamanya. Berjuanglah menentang susah, berkorbanlah demi mencapai kebahagian untuk akhirat sana. Madinah penuh keindahan, padanya ada tawa dan tangisan. Pilihlah tawa kerana dapat mententeramkan jiwa, dan pilihlah tangisan kerana ia dapat menambah iman.

Tahniah dan alfu mubaarak kepada kalian atas usaha dan pilihan, semuanya bakal jadi impian. Teruslah berdoa agar semuanya lancar dan penerbangan kalian dimudahkan. Ingat pesan kami semua di sini, bawalah iman yang kuat dan hati yang tabah kerana kehidupan di Madinah tidak selalunya mudah, jika dirimu telah dilanda ujian dan dugaan di tanah air, begitulah madinah yang tidak terlepas dari ancamann dan dugaan. Jangan mengalah walau pun sering kalah, kerana orang yang tidak mengalah itulah yang menang.  Insya Allah semuanya selamat dan di doakan ada kebaikan  dalam pemusafiran nanti. Kalian akan akan tiba insya Allah, bersabarlah menunggu masanya. Aturan Tuhan, pasti ada kebaikan, pasti, pasti dan pasti.. Amin Ya Rabbal ‘alamiin.

Danial Madani
5 Zulkaedah 1433H
Maktabah Masjid An-Nabawi


Sunday 16 September 2012

Coretan buat PROTAZ



Wahai yang bernama PROTAZ dengarkanlah...

Ummat sangat menghargai kerjamu membantu para ustaz mengkaji dan menyelidik, terima kasih keranamu ada juga mendidik. Tugas dakwah bukan milik ustaz tapi milik semuanya yang bernama insan padanya ada iman.

Wahai protaz,
Tugasmu jitu, usahamu murni perananmu tinggi. Membaca dan membelek banyak buah buku bukan mudah, perlu mujahadah, baca itu dan ini, bukan senang susun masa, kalau tak ada rasa, tak bergetar jiwa nak membacanya.

Wahai Protaz, 
Kajianmu banyak juga membantu, tahqiqmu tidak kurang jua begitu. Kadang-kadang rasa malu...Apalah ustaz ni belajar punyalah lama, tapi itupun tak tahu, keluh mengeluh. Aku bukanlah seorang ustaz, tapi aku sedang alami dan merasainya. Tugas penuntut ilmu takhassus agama bukan senang, jarang hidup lenang. Mesti beri tumpuan, kalau pengajianya dalam bahasa arab lagi dan mesti ditambah tumpuannya.

Wahai Protaz, 
Cuba bayangkan dengan rasa-rasa, hari-harian para ustaz ni ke kelas pengajian, penat-penatan ke pengajian talaqqi, susah-susahan menghafal, memahami dan meniliti apa yg dipelajari. Dalil bukan sahaja hafal, tapi di fahami.

Wahai Protaz, 
Kepada yang belajar di universiti, padanya ada tugasan, assignment, bahath atau thesis. Bukan mudah kadang-kadang lelah, arahan para masyaikh wajib ditaati, walau kadang kala hanya mahu markah. Adakala gagal, memang susah. Alhasil tidak berhasil. Cuba letakkan dirimu di tempat belajar sang ustaz, mungkin baru dirimu rasa betapa berat nak dapat lepas .Bagi yang dari kecil yang sudah belajar agama lagi panjang ceritanya. Cara fikir mereka lain, didikan lama pasti berbeza dari yang baru. Itu mesti kita tahu. Jadi ingat selalu cara belajar mempengaruhi cara fikir.

Wahai Protaz,
Ada antara ustaz yang melangkah ke timur tengah atau luar negara, ini pasti satu jalan susah payah. Demi ilmu agama para bakal ustaz terus memulakan langkah. Jauh beribu batu meninggalkan tanah air tempat tumpahnya darah. Korbankan masa dan perasaan dek kerana setitik ilmu dari selautan ilmuNya. Semestinya pedih dan letih.

Penat,lelah,letih itulah kerja dan usaha para ustaz. Mereka bukan maksum tiada dosa dan noda, pastinya ada! Kadang kala memang banyak kesalahanya. Tapi tak wajar di pandang hina.

Yang ini paling penting!

Belajar ilmu agama sangat mulia, tapi wajib sedar kerana padanya ada prinsip. Ilmu alat, mesti kena ada, kalau tidak kata-kata mu akan ada kelompongan, maaf kata kadang kala cacat cela. Ini bukan biasa, tapi bahaya. Ilmu Agama, dari Allah dan Rasul. Mesti berjaga-jaga.

Sampaikan ilmu agama, semua tanggungjawab kita, takda yang terkecuali. Tapi bukan semua mudah mudah, ada yang payah, dan ada yang perlukan kefahaman mendalam, nak bina kefahaman bukan dengan kelas-kelas luaran sahaja kadang-kadang perlukan juga kelas dalaman.

Wahai Protaz,
Bukan kata dirimu tak faham langsung tapi kadang kala ada kurang. Itulah pentingnya ilmu alat, untuk selesaikan matlamat. Ilmu Tafsir, ilmu hadis, ilmu usul fiqh, ilmu nahu dan ilmu akidah kena sebati, mesti mutamakkin baru lahirnya yakin. Kalau tidak, jawapan dan fatwamu ada macam serba tak kena. Kalau ok ok, kalau tak? Istinbath hukum belajar bertahun.

Wahai Protaz, 
Jangan gopoh, jangan tergesa. Semuanya akan ada jawapan. Para Ulama dan ustaz sedang menyelesaikan. Tapi kalau nak bantu, boleh, tak kan tidak boleh, tapi kena tenang sikit, sebab kita banyak kurang. Pesan satu Syeikh di Masjid Nabawi, utamakan yang ahli. Inilah sifat ihtiram, hormat yang ahli. Walaupun dirimu tahu lebih, tak semesti jawapanmu terpilih. Kalau dipilih jangan ada rasa suka, sebab takut-takut banyak lagi luka dari penawarnya.

Wahai Protaz,
Teruskan dakwahmu, majukan usahamu. Dirimu memang membantu walupun terkadang membuntu. Tidak mengapa kita semua tidak sempurna, pasti ada cacar merba. Terima kasih kerana banyak menolong ummat, dalam meneruskan perjuangan para Nabi dan sahabat. Kita hargai semua pengorbanan dan segala bebanan. Jika dirimu di rendahkan, jangan cepat melatah, tapi dirimu cepat-cepat kena merendah. Tidak mengapa, Allah ada. Yang menilai bersih bukan manusia, tapi sang Pencipta.

Marilah kita baiki hati, murnikan jiwa. Hakikatnya kita sama-sama hamba. Tiada yang lebih tinggi di antara kita melainkan taqwa di dalam mahkota dada. Hati adalah raja segala anggota. Menjaganya tanggungjawab bersama.

Salam perjuangan dan Salam pengorbanan untuk kita semua sebagai warga akhirat

Danial Madani
Kuliah Syari'ah
1 Zulkaedah 1433H

Saturday 8 September 2012

Satu minggu di bumi madinah



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian Alam yang sentiasa melimpahkan kasih sayang pada hambaNya. Alhamdulillah, alhamdulillah thummal hamdulillah. Sudah satu minggu saya berada di bumi madinah selepas pulang bercuti di Malaysia  yang lepas selama hampir 3 bulan. Betapa diri ini rindu dengan bumi haramain, kini jiwa dan hatiku makin terubat dengan kedengaran azan di Masjid Nabawi, lautan manusia yang sedang beramal soleh, pemandangan masjid yang begitu mengasyikkan dan menenangkan serta memberi ketenangan jiwa.

Mukadimah selepas pulang bercuti di madinah kali ini sangat memberi kesan dalam jiwa. Sebelum pulang lagi saya sudah berazam untuk bawa hati yang bersih, dan jiwa yang semangat untuk membina satu kehidupan yang baru. Sepanjang seminggu selepas pulang dari tanah air, saya sering mendapat kebaikan di sini, ada banyak yang saya pelajari dan membuatkan iman saya bertambah. Ya Allah terima kasih kerana sentiasa mengingatkan hambaMu ini.

Antara perkara yang saya sering dapat ialah berjumpa dengan pemandu kereta yang baik-baik orangnya. Di sini selain teksi berdaftar iaitu ujrah kami juga menaiki kereta yang lalu lalang di jalan raya, jika di tahan lalu ianya berhenti amak ia dikira sebagai teksi, selepas sama-sama setuju untuk meletakkan harga maka kami akan naik ke destinasi tujuan. Satu masa saya menaiki satu kereta yang dibawa oelh seorang arab, ya saya menaikinya bersama rakan-rakan dari negara lain. Kereta itu sudah tunggu didepan pintu belakang universiti lagi untuk mengangkut penumpang.

Bila kereta sudah penuh untuk 4 orang, maka kereta pun terus bergerak ke Masjid Nabawi. Rupanya pemandu kereta yang kami naiki itu bukannya mahu mengambil upah, katanya saya suka pelajar universiti, saya juga mahu ke Masjid Nabawi jadi saya saja tunggu dan kita boleh pergi bersama. Semasa dalam kereta katanya kamu semua sangat bagus, kamu semua meninggalkan negara kerana ingin menuntut ilmu ianya jihad yang sangat besar. Semuanya seakan dijunjung atas kepala. Mulia maknanya.

Saya selalu saling memesan dengan sahabat, jangan berkira jika mahu buat kebaikan. Contohnya jika mahu menaiki teksi ke masjid, setakat mahal-mahal sikit tu jangan berkira sangat, InsyaAllah Allah murahkan rezeki. Pesan juga agar saling positif dengan orang sekeliling. Kerana ia cermin kepada hati kita. Jika kotor yang kita nampak risau ia datang dari hati kita yang juga kotor. Baru bercerita mengenai itu, saya dan kawan dibantu oleh seorang melayu yang lahir di madinah menjadikan keretanya sebagai teksi mengambil upah bagi penumpang yang menhan di tepi jalan, anak muda, tapi tidak fasih berbahasa melayu hanya boleh faham sahaja.

Alhamdulillah dia tidak mahu menerima bayaran 10 riyal itu, malah dia membantu seketika mencarikan kedai telefon bimbit yang baik dan murah bagi kami. Katanya " awak mahu saya bersama mu membeli telefon bimbit atau saya terus pulang? " Allah baik betul dia. Rasa tidak rugi jika kami sentiasa bersangka baik dan tidak berkira, rezeki pasti akan sampai dan yang paling penting berkat. Banyak juga inividu yang saya ketemui tiba-tiba memberikan nasihat yang seolah-olah dia tahu saya mahukan nasihat itu. Masa tunggu giliran untuk beli air di satu restoran di bandar madinah, ada seorang tua panggil saya, tiba-tiba dia nasihat agar menuggunakan telefon bimbit dengan baik dan dia memberi nasihat agar berkahwin.

Semuanya sperti satu keajaiban, bukannya tiada orang jahat dan buruk akhlaknya di madinah pastinya ada. Tapi saya bersyukur setakat ini banyak individu soleh yang saya ketemui. Bumi madinah sangat ajaib. Doa di masjid nabawi sangat mustajab. Saya mesti tekadkan diri untuk terus mujahadah melawan nafsu dan mengurusnya, menjaga amal soleh, dan menjaga kemulian akhlak. Hidup berjauhan dengan tanah air bukannya mudah, selalu susah, harapnya Allah beri saya kekuatan untuk terus mujahadah untuk terus medekatkan diri padaNya.

Ya Allah berilah aku hati yang sedar bahawa aku sedang berada di bumi yang suci yang padanya ada keberkatan. Amin

Saturday 1 September 2012

Tahniah bagi pelajar baru Universiti Islam Madinah yang terpilih!

Assalamualaikum wbt,

Tahniah kepada semua yang terpilih bagi sesi 2012/2013, Semoga Allah sentiasa memberkati anda semua. Berikut adalah nama-nama yang terpilih:


1.ABDULLAH MUADZ BIN NORAZAM

2.MUHAMMAD SUFI BIN BORHAN
3.MOHAMAD JAZLAN BIN MOHAMAD JAN
4.CHE MOHD FUAD BIN CHE HAMZAH
5.FAUZAN BIN MOHAMMAD
6.MUHAMMAD AL SIDDIQ BIN SAKHI MOHD
7.ABDUL SALIM BIN ABDUL WAHAB
8.MOHD FAKHRI BIN OTHMAN
9.MUHAMMAD FATHI ANWAR BIN MOHAMAD AZMI
10.MUHAMMAD SOLLEHAN BIN ANUAR
11.MOHD FIRDAUS NAIM BIN DESA
12.MUHAMAD AFIQ B MUHAMAD HANEEFA
13.MOHD SHAUQI BIN SAIFUL SUHARDI
14.MOHAMMAD BAIHAQI BIN MD YUSNAN
15.RASHID BIN PULLONG
16.MUHAMMAD NAZHIF RASYAD BIN FAUZI
17.MUHAMMAD ZAINI BIN RAHMAT
18.KHAIRUL RIDHWAN BIN EMRAN
19.SHAHRIL BIN MOHAMAD
20.MUHAMMAD FAJIL BIN ABDUL HAMAN
21.MOHD ZULHAMDI BIN ZAINOL ABIDIN
22.USAMAH BIN ABDULLAHأ
23.FATHUL HAKIM BIN KAMARUL ZAMAN
24.ASYRAFUL HAFEZ BIN ZAKARIA
25.HUSAM BIN ALAUDDIN
26.ABDUL RAZIN BIN ABDUL AZIZ
27.LUQMAN FAHMI AFIFI BIN FUZI
28.MUHAMMAD NUR FIRDAUS BIN MOHAMAD NOOR
29.MUHAMMAD ZULQARNAIN BIN MOHD ZAMZAM
30.NIK MOHD MAHFUZ BIN NIK MOHD MANAN
31.MUHAMMAD FITRI BIN ABDUL RAZAK
32.MOHD HAQIQ BIN MOHD SHAFUDDIN
33.MUAZ BIN MOHD GHANI BASRI
34.MOHD FAISAL BIN ABD RAZAK
35.AHMAD FARKHAN BIN AHAMAD RASMI
36.MOHD FAREZ FAHMI BIN NANYAN
37.SYAHRUL HIKMA RAMADAN BIN SYAMSUDDIN
38.AHMAD HANAFI BIN MOHD NASIR
39.ABDUL HADI BIN ABDUL RASHID
40.MOHAMD FAIZ BIN BADERULIKSAN
41.WAN NOR MUSTAQIM BIN WAN NIK

Oleh yang demikian, jika anda mengenali nama-nama yang ada di dalam list, sila hubungi mereka atau terus ke:
1. Hilmi Mustapha
eme: eming_89@yahoo.com
No tel +966557543455

2. Amirfathirah Bin Handzalah
Emel : hdzlh_88@yahoo.com
No tel : +966542184282

Terima Kasih.

Tuesday 21 August 2012

Satu syawal yang hambar



Satu syawal adalah hari yang di nanti-natikan oleh semua umat Islam. Hari kemenangan dan hari kegembiraan kerana telah berjaya melaksanakan tugas sebagai hamba yakni berpuasa selama sebulan. Bulan mujahadah ibarat berada dalam madrasah tarbiyah sudah berakhir. Maka bergemalah takbir di seluruh bumi, memuji Allah, membesarkanNya.

Kelihatan ramai yang berbaju baru, wajah yang berseri-seri, perasaan yang gembira, memohon maaf, berbalas-balas ucapan. menziarahi sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, bersalam-salaman, bertanya khabar, melantunkan senyuman mesra, berbalas berita gembira dan bertukar cerita menjadi satu tradisi mulia pada satu syawal ini. Di kesempatan waktu inilah di ambil untuk melaksanakan peranan sebagai manusia untuk bermuamalat baik dengan manusia lain. Ya inilah juga akhlak sesama manusia yang sangat dituntut dalam agama. Anugerah Allah yang sangat menggembirakan.

Bagi mereka yang beriman, mereka juga bergembira, walau sebenarnya jauh dalam hati sanubari mereka merasa sedikit sebak kerana sudah meninggalkan ramadan yang mereka rindukan itu. Merindui bulan ibadah, penuh barakah, dengan kelebihan yang banyak sangat membuatkan hati mereka sebak dan sedih. Walau begitu hari demi hari perlu di teruskan sebagai hamba, hamba Allah yang terusan bermujahadah.

Pada satu syawal ini, aku diuji lagi, rintih pedih, hari yang penuh kecerian ini juga aku diuji. Di uji perasaan kecewa. Tapi tidak sekali-kali aku mahu kalah, apatah lagi mahu mengalah. Tidak perlulah aku menceritakan di sini, cukuplah mengatakan aku di uji. Ah... tapi itu semua ujian. Ujian itu semua dari Allah, aku mesti mujahadah. Ku tepis jauh dari bersangka buruk dan terus bersangka baik, bahawa semua ini ujian. Aku belum tahu lagi adakah aku sudah menerima anugerah taqwa dari Allah. Taqwa yang aku buru selama ramadan mesti terus menerus diburu walaupun ramadan sudah menjauh. Tidak mahu aku kehilangannya dengan ujian yang datang tanpa diurus dengan baik.

Sepatutnya aku gembira pada hari ini, tapi tiba-tiba rasa kecewa pula yang hadir. Terusan aku membasahkan lidahku dengan istighfar. Hambar pada haritu. Aku tidak meminta kasih manusia, tapi yang aku tagihi adalah kasih Allah. Merenung seketika menenangkan diri, melihat pemandangan gunung yang jauh, merasakan kehebatan dan keagungan Allah. Mencipta semuanya tanpa sia-sia. Merasakan kebesaranNya itu, lantas ku tunduk bahawa dunia ini adalah tempat menyelesaikan masalah, dan untuk menjadi orang yang benar-benar beriman, hati dan jiwa pasti di uji dan terusan di uji.

Untuk mendapat kasih sayang dan cinta bukan mudah. Tidak kira kasih pada Allah atau manusia. Allah pasti uji. Ujian ini mengikut iman yang ada pada diri. Lagi kuat iman seseorang lagi besar ujiannya. Bagi kasih sesama manusia Allah uji untuk menyatukannya. Mereka yang berkasih sayang kerana Allah tidak terlepas dari ujian. Suami dan isteri, Ibubapa dan anak, guru dan murid dan juga sahabat-sahabat semuanya di beri ujian. Kita akan di uji adakah benar cinta dan kasih sayang kita kerana Allah. Jika benar, bagaimana cara kita bermuamalat dengan mereka yang kita sayangi dan cintai. Allah uji.

Kenapa aku di uji? Seperti biasa aku sentisa positif bahawa Allah mahu angkat darjat kita, mahu berikan perkara yang lebih baik, dan kerana Allah sayang akan kita. Maka ketika solat aku memohon agar Allah memberikan ku ketenangan dan ketenteraman jiwa. Memohon keampunan kerana terlalu banyak dosa yang perlu ditanggung. Aku redha dan pasrah melaluinya dengan tabah. Ujian yang datang pasti akan memberi seribu hikmah yang berlipat kali ganda, cuma aku mesti mendidik diri menjaga hati, bahawa semuanya jua aturan dari Allah dan menerimanya dengan pasrah.

Semoga syawal di hari-hari yang mendatang ini menjadikan ku lebih tenang dan gembira. Bersama keluarga, sanak saudara, dan teman-teman. Akan ku laluinya dengan cekal penuh tawakal. Aku masih ada teman, Tahajjud, dhuha dan taubat menjadi bekal sepanjang perjalanan. Allah maha sayang maha memahami, jauh sekali mengecewakan hambaNya. Ramadan kau pergi syawal kau kembali. Harapannya dihargai.






Sebuah pengorbanan meninggalkan kenikmatan



Diriku sedang menghitung hari untuk bermusafir ke Kota Bercahaya Madinah Al-Munawwarah dengan penuh kegembiraan tetapi dipalit rasa kesedihan,

Hari demi hari di bilang, ia semakin berkurang,

Kerinduan tidak dapat diterjemahkan, ia datang penuh kesyahduan,

Perjuangan yang tidak akan berakhir ini, akan terus ku lalui,

Ku mohon iman yang kuat dan hati yang tabah untuk melalui semua perjalanan ini walau dengan segala kesusahan dan keperitan,

Bukan mudah, ku pinta tabah, dan sabar kadang-kala tercalar,

Selamat tinggal rakan taulan, teman seperjuangan, ku berjanji akan membawa ilmu dan iman apabila pulang nanti,

Menjadi bekalan kita di bumi yang sementara ini,

Sebagai warga akhirat, ingatanku pada mu semua sentiasa terpahat,

Demi satu pengorbanan, satu perjuangan, ku tempuhi dan ku redah,

Itulah jalan mujahadah.....

Friday 10 August 2012

Sebuah penantian tanpa kepastian menguji keimanan


Di waktu tengah malam sunyi diriku tiba-tiba di hanyut rasa sebak dalam sebuah penantian yang panjang. Bukan ku mendesak aturan tuhan agar jawapan itu segera datang, tapi ku bimbangi iman dalam penantian yang ku pelihara ini akan menjauh meninggalkan ku. Ku tidak lupa bahawa semuanya atas aturan tuhan, Dia lah yang mengatur semuanya dengan penuh keindahan dan penuh ketelitian. Begitulah tika hati ini merintih, merasakan Allah itu pengatur, di sebut-sebut agar menjadi tenteram hati ini yang menanti tidak pasti.

Teman ku memberi satu kata-kata indah agar diriku tabah terus menjalani hidup, di ukirnya sebuah puisi agar ku mengerti

Penantian itu ujian yang dasyat,
Kerana tiada padanya kepastian....
Di situlah kita tahu nilai iman, kerana hanya padaNya kita pasakkan keyakinan....

Cukuplah Allah sebagai sandaran,
Pada qada dan qadarNya aku dambakan ketaatan,
Ku serahkan segala urusanku  ini kepada Mu wahai Ilahi,
Agar diriku ini dirahmati, diberkati dan diredhai....

Kerana ku yakin kepada Mu jua tempat ku kembali nanti.......

Hati merintih lagi, begitulah hakikat menjadi hamba kepada Allah, sering di uji dan terus di uji. Mencari kebahagian bukannya mudah, perlu mujahadah. Tapi benarlah mujahadah itu indah. Bukan penghujung jalan dirasai tetapi sepanjang perjalanan di nikmati.

Air mata ini mengalir lagi, menagih simpati dari Dia yang maha mendengar. Segalanya ku lepaskan padaNya. Meminta kuat tatkala hati ini di uji. Uji rasa ragu-ragu, dan segala rasa yang menggusarkan fikiran. Tiada daya dan upaya melainkan dengan keizinan Allah dan Dia lah maha Agung dan maha Tinggi.

Ya Allah, apa jua jawapan yang bakal mendatang, semuanya atas taqdir Mu. Kau lebih tahu apa yang terbaik buat diriku. Kadang kala rasa diri ini kuat, tapi kau tahu yang sebenarnya diriku ini penuh dengan kelemahan.

Ya Allah, apa jua jawapan agar ia menambah iman dan cinta ku pada Mu. Ku tidak mahu menagih cinta manusia kerana ia sia-sia. Cinta pada Mu yang hakiki, pasti kekal abadi.

Ya Allah, jawapan itu satu penantian, menanti penuh kesabaran, mendidik diri tidak mengharap melainkan reda Mu, agar semuanya diterima dengan rasa ketaatan. Ajarlah diri ini ikhlas Ya Allah, kerana ia rahsia Mu.

Ku sebak dalam kerinduan..... doa ini menguatkan lagi ketabahan menuju ujian....air mata jatuh berjujuran... tangan di angkat mengarahkan pada tuhan......

Ya Hayyu Ya Qayyum,

Dengan rahmat Mu, aku meminta pertolongan....
Baikilah untuk ku dan urusan ku semuanya.....
Dan jangan kau tinggalkan diri ku ini walaupun pun dengan sekelip mata....

Penantian...... ku masih menanti..... Iman.. agar kau hadir..... dalam diri penuh kekusutan....