Tuesday, 19 February 2013

Sentuhan Sahabat


Alhamdulillah thummal hamdulillah thummal hamdulillah.

Syukur pada saat ini saya masih lagi diberi kekuatan oleh Allah swt untuk mencoret sesuatu. Rasanya telah jauh masa meninggalkan saya, pelbagai perkara telah saya lalui, suka duka semuanya di tempuhi dengan redha dan tabah. Tidak sangka sudah 3 minggu abah telah meninggalkan kami sekeluarga dengan kematian yang mengejut, siapa sangka abah baru berumur 52 tahun. Saya yakin Allah lebih menyayangi abah dan pasti ada hikmah di sebalik yang berlaku. Apa yang menjadi kejutan saya lagi adalah ia berlaku ketika saya masih berada diperantauan yakni di kota Madinah Al-Munawwarah.

Ketika berita ini sampai, saya sedang menyertai kursus pengajian di Masjid Nabawi. Saya azam agar dapat memberi komitmen yang baik dalam kursus ini. 2 hari sebelum berita ini sampai, ada berita lain yang mengejutkan saya lantas saya meninggalkan pengajian kerana tidak tahan sebak dengan beritau itu. Rupanya saya di beri ujian lagi, 2 hari selepas itu, pada waktu subuh saya mendapat berita yang abah telah pun kembali kerahmatullah. Seperti tidak percaya, kerana masa itu waktu solat subuh baru masuk dan saya baru terjaga dari lena dan terus membaca di pesanan ringkas. Ternyata berita itu benar.

Selama ini saya hanya mendengar ianya berlaku pada orang lain, tapi hari ini ia telah pun berlaku pada diri saya sendiri. Saya senyum, tapi jauh dalam lubuk hati saya, saya hiba dan sedih, tapi saya percaya bahkan yakin semuanya sudah di atur oleh Allah yang maha mengatur segalanya, Maha suci Allah dari menzalimi hamba Nya, dan Dia sentiasa kasih dan sayang pada Hamba Nya melebihi kemurkaan Nya. Moga hati saya terus tabah melalui semua ini.

Ketika ini, saya mula memahami apa makna sahabat. Selama ini sahabat yang difahami adalah secara maknawi atau sekadar makna permukaannya sahaja, tapi kali ini saya mula memahami pengertian sahabat bahkan saya mulai sedar peranan sahabat dalam hidup sangat penting. Ketika saya susah dan ditembah resah, sahabat lah yang hadir memberi bantuan. Bukan bantuan dari segi kewangan sahaja bahkan bantuan nasihat dan motivasi memberi semangat agar bangun dan bangkit semula. 

Semasa berita kematian bapa saya mula tersebar, saya mula mendapat pesanan ringkas SMS dari kawan-kawan yang mengenali, bahkan di ruangan chat facebook. Saya menulis status di facebook, dan ramai kawan yang memberi ucapan takziah dan memberi pesanan agar sabar dan tabah. Apa yang membuat saya kuat lagi bila ada sahabat-sahabat juga yang menghubungi saya secara terus. Saya dapat rasakan sahabat yang menghubungi saya ada rasa mengambil berat serta menyayangi.

Saya sempat menghubungi orang yang saya sayangi untuk memberitahu tentang kematian ini, semuanya terkejut dan hiba dengan berita. Ketika ini saya nampak siapa itu kawan dan siapa itu sahabat. Orang yang pernah menyatakan sayang kepada kita kerana Allah itu akan dapat kita kenal samada benar atau tidak bila kita melalui jalan susah dan resah. Baru saya tahu dia bukan sayang saya kerana Allah, dia bukan cinta saya kerana Allah dan dia bukan murabbi yang saya cintakan kerana Allah bahkan itu hanya ucapan yang belum dibuktikan dengan perlakuan.

Alhamdulillah rata-ratanya adalah kawan yang baik walau mereka belum saya gelarkan sebagai sahabat. Ketika inilah peranan sahabat di ambil dengan baik. Seorang sahabat bahkan seperti seorang abang telah mengambil peranan penuh kasih sayang. Pada hari yang sama ketika kejadian saya di bawa menziarahi bandar madinah melihat tempat bersejarah. Hari ini juga rakyat di tanah air sedang menyambut hari kelahiran Nabi saw. Begitu hiba tetapi di sapa bahagia kerana ketika ini saya sedang hidup di kota yang bercahaya.

Semasa saya menemui kawan dan sahabat ada seakan sebersalah mendekati saya kerana bimbang saya sedih dengan pertanyaan kematian bapa. Kata mereka mahu membiarkan saya reda dan tenang dahulu. Ada sahabat yang sekadar memberi ucapan tanpa kata-kata semangat, bukan kerana mereka tidak mahu tapi mereka malu bahka tidak biasa. Apa-apa pun saya bersyukur pada Allah kerana di kurniakan sahabat-sahabat yang baik. Semoga Allah membalas Segala doa dan kebaikan mereka untuk saya.

" Ya Allah berilah aku cinta Mu, berilah aku cinta kepada orang yang mencintai Mu, dan berilah aku cinta pada segala sesuatu yang mencintai MU.... "