Sunday, 18 May 2014

Diari cinta


Cinta pada Allah adalah cinta yang sering manusia lupakan, bahkan ada manusia tidak tahu bagaimana mahunya untuk bercinta dengan Allah. Jika manusia tahu dan merasai nikmat bercinta dengan Allah ini pasti manusia akan terus memburunya sehingga bertemu kematian. kematian yang membawa kepada permulaan kehidupan sebenar. Disitu bertemulah manusia dengan sang Pencipta. samada diberi nikmat atau dibalas azab. ketahuilah ketika itu dengan kesedaran yang nyata bahawa apakah itu cinta Allah.

Sudahkah kita mengejar cinta Allah? mungkin ada yang masih terpinga-pinga bertanya bagaimanakah yang dimaksudkan cinta Allah? Mencinta Allah adalah mentaati segala perintah Nya dan menjauhi segala larangan Nya dengan penuh rasa penghambaan. Menyerahkan segalanya pada Allah dengan penyerahan yang benar iaitu tidak mempertikaikan hukum-hakam atau merasa susah dengan syariat yang telah ditetapkan untuk sekalian umat islam. ya Allah kau jadikan kami, kau menjaga kam, menetapkan rezeki dan kebaikan buat kami, pimpinlah kami untuk mencintai Mu dan sesekali tidak melupai Mu. 

Ada juga manusia hanya mencari cinta Allah ketika mereka ditimpa kesusahan dan musibah. ketika itu segala usaha dikerah untuk kembali kepada Allah, kembalikan hati, kembalikan rasa, kembalikan jiwa, hanya untuk Allah tetapi ia lebih baik dari manusia yang tidak mahu mengembalikan semua pada Allah bahkan mereka mencari-cari sesuatu yang boleh menyelamatkan mereka dari musibah selain dari Allah. sungguh mereka dalam kalangan yang rugi dan tidak mendapat petunjuk. Carilah cinta Allah, pasti akan diberi jalan penyelesaian, kecil atau besar semua milik dan dalam pengusaan Allah. 

"Wahai hati yang sentiasa lara dan gelisah berusahalah mencari cinta Allah. Ya cinta Allah, itulah cinta yang sentiasa gagal kita fahami. Berilah ruang pada relung-relung hati itu untuk mengisinya semula. Isi cinta dengan ketaatan dan penyerahan. Ya Allah berilah kekuatan! "

Cinta makhluk

Cinta makhluk adalah cinta yang banyak menipu, dan mengkaburkan mata. Suka menipu dan tertipu. Gara-gara apakah yang menyebabkan cinta ini sentiasa ditipu dan tertipu? Allah tidak menjadi tujuan yang benar dalam bercinta dan berkasih sayang. Pengalaman yang saya lalui banyak menjadi pengajaran dan saya telah mendapat seribu hikmah untuk dipelajari. Adakah kita tidak boleh mencintai manusia? siapakah manusia yang patut kita cintai? Cinta pada manusia itu adalah normal atau tabi'i bagi seluruh manusia. Persoalanya bagaimanakah cara kita meluahkan dan menzahirkan cinta?

Manusia yang paling layak untuk dicinta sepenuh hati ialah kekasih Allah iaitu Rasulullah saw dan ibubapa. Bagaimana mencinta beliau? Sehingga saat ini telahkah kita yakin bahawa cinta kita pada Rasulullah saw adalah cinta yang sejati atau ia sekadar melafazkannya. Berapa banyakkan amalan sunnah yang telah kita amal dan jaga demi membuktikan cinta dan sayangnya kita pada Rasulullah saw. Pernahkah kita menangis sepenuh hati menghayati perjuangan susah payah Rasulullah saw dalam sirah sepanjang kehidupannya? Cinta Rasul sangat agung, bahkan tidak sempurna iman seseorang jika kita mencintai manusia lain melebih cinta Rasulullah saw hatta cinta itu setara dengan cinta manausia lain. 

Ibubapa?

Dua insaan banyak memberi kebaikan pada kehidupan ku, sehinga sekarang saya semakin mengakui bahawa dua insan inilah paling ku cintai selamanya. Tidaklah saya lahir di dunia dan dapat menikmati segalanya kerana cinta yang telah ditempuh oleh mereka berdua terlebih dahulu. Ibu cintanya pada anak-anaknya sangat hebat dan agung. Kita akan katakan pada semua orang bahawa ibu kitalah paling hebat didunia ini. Cinta ibu pada kita, cinta kita pada ibu sangat besar nilainya. Ibu telah saya sifatkan sebagai udara yang memberi saya ruang dan peluan untuk terus bernafas, tanpa ibu siapalah diriku dan belum tentu perjalanan ku terarah dipandu tanpa wanita bernama ibu!

Kehilangan Abah telah menjadi kejuatan buat kami sekeluarga. Saya tidak pernah menyangka bahawa abah akan meninggalkan saya buat selamanya ketika saya berada di Madinah. Berita dari keluarga pada pagi subuh itu menyebabkan saya bergetar dan menitiskan air mata. Ketika itulah baru ku rasa apa erti kehilangan dan erti cinta seorang bapa dan anak. Terbayanglah segala kebaikannya sepanjan hidupku. Marahnya dirindui dan wajahnya diingati. Pulang cuti bertemu sahabat arwah abah ku mendengar cerita bahawa arwah abah telah memberitahu sahabat-sahabatnya yang saya adalah harapannya. Berdoa dan menjadi anak yang soleh itulah harapan!

Renungan panjang... mengimbau segala kenangan, kadang menjadi penguat kadang pula melemahkan. Turun naik, itulah kehidupan. Jatuh bangun dengan ujian. Allah sayang, ditambahnya ujian. Sebab ujian, kita sahaja tahu, sebab kebanyakan ujian juga dari tangan-tangan zalim manusia iaitu kita sendiri. Musibah untuk mengingatkan. Mudah-mudahahan menambah iman, mengembalikan cinta dan penghambaan. 

Tiada manusia yang lebih benar cinta dan sayangnya pada diriku ini melainkan ibu dan abah. Saya biasa bertemu manusia yang mengakui menyayangi kita, tetapi lafaz-lafaz itu tidak jujur sepanjang perjalanan. Ia gugur, mungkin bukan kerana tidak ikhlas, tetapi belum benar-benar ikhlas, atau sekadar pemerhatian itulah manusia, mudah rasa jemu dan sukakan kelebihan bukan kerana ingatkan tuhan semata dalam memberi cinta dan kasih sayang. " Aku mencintai mu kerana Allah" lafaz kata yang mudah untuk disampaikan tetapi tidak semudah mengamalkan. 

Ketika lemah, ketika melihat kekurangan si dia, cinta dan sayang mula pudar dan semakin menjauh. Oh rupanya dia tidak seperti yang aku mahukan, gesir hati si dia barangkali. Cinta bukan sahaja pada wanita, tetapi pada kenalan, kepada sahabat hatta orang-orang soleh. Semua ini pasti melalui jalan-jalan ujian dan kepahitan. Kita boleh perhatikan dalam diri kita sendiri adakah telah berkasih sayang kerana Allah dan apakah tatkala diuji Allah kita menjadi teman yang memaafkan atau sebaliknya atau melayan nafsu amarah sehingga semakin kaburlah nikmat berkasih sayang itu. Di mana ikhlas? dimana lafaz? Allah menguji adakah cinta dan sayang kerana Allah? nilailah dalam-dalam, dalam lubuk hati adakah keran tuhan? 

Cinta jodoh

Bila sebut soal jodoh ia pasti disinonimkan dengan urusan penyatuan iaitu pernikahan atau perkahwinan. Tidak tertalu banyak ilmu atau pengalaman untuk bercerita tentang soal jodoh atau soal cinta ini. Bagi mereka yang sedang mencari jodoh, bersungguh-sungguhlah ketika mencarinya, dan jangan mengambil mudah. Telusurilah sunnah Nabi saw dalam memcari pasangan yan baik. Setengah manusia mengambil mudah, katannya dengan tidak melihat wajah pasangan pun boleh diterima nanti sehingga berlakulah rasa tidak puas hati ketika melihatnya tatkala cinta telah menyatu. Ia terjadi pada setengah lelaki yang tergopoh-gopah untuk bernikah diterimanya sahaja pelawaan sang ayah perempuan tanpa meneliti terlebih dahulu. Al hasil diuji dengan keberatan, mujur itu bukan jawapan penolakan 'tawaran'. 

Dalam mencari jodoh, jangan meletakkan harapan pada manusia kerana dia adalah kekal makhluk yang terus dengan sifat kelemahan dan kekurangan. Seorang lelaki bakal tertipu dengan sikap manis atau kata 'pukauan' yang dizahirkan. Mengajak dan mengajar soal jodoh dan perkahwinan pada kemudahan, tetapi masih gagal dalam mengamalkan. Akhirnya memberi kesusahan pada manusia lain dengan pelbagai alasan. Lelaki yang melalui jalan pencarian seperti ini iaitu kesusahan atau cerewet si keluarga perempuan, harus berani untuk berkata 'tidak' kerana kesusahan yang bakal diterima selepas berkahwin nanti mungkin menjadi lebih besar. 

Justeru cinta yang paling hakiki dan tidak akan mati adalah cinta Allah. Cintailah Allah kerana Allah akan memberikan segala kebaikan yang ada sesuai dengan usaha kita. Fokus pada cinta Allah iaitu taat dengan bersungguh-sungguh serta dilaksanakan dengan rasa cinta dan penyerahan. Mencintai Allah dan menyerahkan segalanya pada Allah akan menyebabkan seluruh penduduk langit dan dunia akan turut mencintai kita. Menjadi mudah untuk menjalikan cinta sesama manusia kerana telah mencinta pencipta cinta dengan sepenuh rasa. Apakah telah ada usaha menambah cinta dan sayang pada Allah? 

" Ya Allah berikanlah aku cinta Mu, cinta kepada orang-orang yang mencintai Mu serta berilah cinta kepada segala sesuatu yang membawa kepada cinta pada Mu "