Tuesday, 21 August 2012

Satu syawal yang hambar



Satu syawal adalah hari yang di nanti-natikan oleh semua umat Islam. Hari kemenangan dan hari kegembiraan kerana telah berjaya melaksanakan tugas sebagai hamba yakni berpuasa selama sebulan. Bulan mujahadah ibarat berada dalam madrasah tarbiyah sudah berakhir. Maka bergemalah takbir di seluruh bumi, memuji Allah, membesarkanNya.

Kelihatan ramai yang berbaju baru, wajah yang berseri-seri, perasaan yang gembira, memohon maaf, berbalas-balas ucapan. menziarahi sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, bersalam-salaman, bertanya khabar, melantunkan senyuman mesra, berbalas berita gembira dan bertukar cerita menjadi satu tradisi mulia pada satu syawal ini. Di kesempatan waktu inilah di ambil untuk melaksanakan peranan sebagai manusia untuk bermuamalat baik dengan manusia lain. Ya inilah juga akhlak sesama manusia yang sangat dituntut dalam agama. Anugerah Allah yang sangat menggembirakan.

Bagi mereka yang beriman, mereka juga bergembira, walau sebenarnya jauh dalam hati sanubari mereka merasa sedikit sebak kerana sudah meninggalkan ramadan yang mereka rindukan itu. Merindui bulan ibadah, penuh barakah, dengan kelebihan yang banyak sangat membuatkan hati mereka sebak dan sedih. Walau begitu hari demi hari perlu di teruskan sebagai hamba, hamba Allah yang terusan bermujahadah.

Pada satu syawal ini, aku diuji lagi, rintih pedih, hari yang penuh kecerian ini juga aku diuji. Di uji perasaan kecewa. Tapi tidak sekali-kali aku mahu kalah, apatah lagi mahu mengalah. Tidak perlulah aku menceritakan di sini, cukuplah mengatakan aku di uji. Ah... tapi itu semua ujian. Ujian itu semua dari Allah, aku mesti mujahadah. Ku tepis jauh dari bersangka buruk dan terus bersangka baik, bahawa semua ini ujian. Aku belum tahu lagi adakah aku sudah menerima anugerah taqwa dari Allah. Taqwa yang aku buru selama ramadan mesti terus menerus diburu walaupun ramadan sudah menjauh. Tidak mahu aku kehilangannya dengan ujian yang datang tanpa diurus dengan baik.

Sepatutnya aku gembira pada hari ini, tapi tiba-tiba rasa kecewa pula yang hadir. Terusan aku membasahkan lidahku dengan istighfar. Hambar pada haritu. Aku tidak meminta kasih manusia, tapi yang aku tagihi adalah kasih Allah. Merenung seketika menenangkan diri, melihat pemandangan gunung yang jauh, merasakan kehebatan dan keagungan Allah. Mencipta semuanya tanpa sia-sia. Merasakan kebesaranNya itu, lantas ku tunduk bahawa dunia ini adalah tempat menyelesaikan masalah, dan untuk menjadi orang yang benar-benar beriman, hati dan jiwa pasti di uji dan terusan di uji.

Untuk mendapat kasih sayang dan cinta bukan mudah. Tidak kira kasih pada Allah atau manusia. Allah pasti uji. Ujian ini mengikut iman yang ada pada diri. Lagi kuat iman seseorang lagi besar ujiannya. Bagi kasih sesama manusia Allah uji untuk menyatukannya. Mereka yang berkasih sayang kerana Allah tidak terlepas dari ujian. Suami dan isteri, Ibubapa dan anak, guru dan murid dan juga sahabat-sahabat semuanya di beri ujian. Kita akan di uji adakah benar cinta dan kasih sayang kita kerana Allah. Jika benar, bagaimana cara kita bermuamalat dengan mereka yang kita sayangi dan cintai. Allah uji.

Kenapa aku di uji? Seperti biasa aku sentisa positif bahawa Allah mahu angkat darjat kita, mahu berikan perkara yang lebih baik, dan kerana Allah sayang akan kita. Maka ketika solat aku memohon agar Allah memberikan ku ketenangan dan ketenteraman jiwa. Memohon keampunan kerana terlalu banyak dosa yang perlu ditanggung. Aku redha dan pasrah melaluinya dengan tabah. Ujian yang datang pasti akan memberi seribu hikmah yang berlipat kali ganda, cuma aku mesti mendidik diri menjaga hati, bahawa semuanya jua aturan dari Allah dan menerimanya dengan pasrah.

Semoga syawal di hari-hari yang mendatang ini menjadikan ku lebih tenang dan gembira. Bersama keluarga, sanak saudara, dan teman-teman. Akan ku laluinya dengan cekal penuh tawakal. Aku masih ada teman, Tahajjud, dhuha dan taubat menjadi bekal sepanjang perjalanan. Allah maha sayang maha memahami, jauh sekali mengecewakan hambaNya. Ramadan kau pergi syawal kau kembali. Harapannya dihargai.






Sebuah pengorbanan meninggalkan kenikmatan



Diriku sedang menghitung hari untuk bermusafir ke Kota Bercahaya Madinah Al-Munawwarah dengan penuh kegembiraan tetapi dipalit rasa kesedihan,

Hari demi hari di bilang, ia semakin berkurang,

Kerinduan tidak dapat diterjemahkan, ia datang penuh kesyahduan,

Perjuangan yang tidak akan berakhir ini, akan terus ku lalui,

Ku mohon iman yang kuat dan hati yang tabah untuk melalui semua perjalanan ini walau dengan segala kesusahan dan keperitan,

Bukan mudah, ku pinta tabah, dan sabar kadang-kala tercalar,

Selamat tinggal rakan taulan, teman seperjuangan, ku berjanji akan membawa ilmu dan iman apabila pulang nanti,

Menjadi bekalan kita di bumi yang sementara ini,

Sebagai warga akhirat, ingatanku pada mu semua sentiasa terpahat,

Demi satu pengorbanan, satu perjuangan, ku tempuhi dan ku redah,

Itulah jalan mujahadah.....

Friday, 10 August 2012

Sebuah penantian tanpa kepastian menguji keimanan


Di waktu tengah malam sunyi diriku tiba-tiba di hanyut rasa sebak dalam sebuah penantian yang panjang. Bukan ku mendesak aturan tuhan agar jawapan itu segera datang, tapi ku bimbangi iman dalam penantian yang ku pelihara ini akan menjauh meninggalkan ku. Ku tidak lupa bahawa semuanya atas aturan tuhan, Dia lah yang mengatur semuanya dengan penuh keindahan dan penuh ketelitian. Begitulah tika hati ini merintih, merasakan Allah itu pengatur, di sebut-sebut agar menjadi tenteram hati ini yang menanti tidak pasti.

Teman ku memberi satu kata-kata indah agar diriku tabah terus menjalani hidup, di ukirnya sebuah puisi agar ku mengerti

Penantian itu ujian yang dasyat,
Kerana tiada padanya kepastian....
Di situlah kita tahu nilai iman, kerana hanya padaNya kita pasakkan keyakinan....

Cukuplah Allah sebagai sandaran,
Pada qada dan qadarNya aku dambakan ketaatan,
Ku serahkan segala urusanku  ini kepada Mu wahai Ilahi,
Agar diriku ini dirahmati, diberkati dan diredhai....

Kerana ku yakin kepada Mu jua tempat ku kembali nanti.......

Hati merintih lagi, begitulah hakikat menjadi hamba kepada Allah, sering di uji dan terus di uji. Mencari kebahagian bukannya mudah, perlu mujahadah. Tapi benarlah mujahadah itu indah. Bukan penghujung jalan dirasai tetapi sepanjang perjalanan di nikmati.

Air mata ini mengalir lagi, menagih simpati dari Dia yang maha mendengar. Segalanya ku lepaskan padaNya. Meminta kuat tatkala hati ini di uji. Uji rasa ragu-ragu, dan segala rasa yang menggusarkan fikiran. Tiada daya dan upaya melainkan dengan keizinan Allah dan Dia lah maha Agung dan maha Tinggi.

Ya Allah, apa jua jawapan yang bakal mendatang, semuanya atas taqdir Mu. Kau lebih tahu apa yang terbaik buat diriku. Kadang kala rasa diri ini kuat, tapi kau tahu yang sebenarnya diriku ini penuh dengan kelemahan.

Ya Allah, apa jua jawapan agar ia menambah iman dan cinta ku pada Mu. Ku tidak mahu menagih cinta manusia kerana ia sia-sia. Cinta pada Mu yang hakiki, pasti kekal abadi.

Ya Allah, jawapan itu satu penantian, menanti penuh kesabaran, mendidik diri tidak mengharap melainkan reda Mu, agar semuanya diterima dengan rasa ketaatan. Ajarlah diri ini ikhlas Ya Allah, kerana ia rahsia Mu.

Ku sebak dalam kerinduan..... doa ini menguatkan lagi ketabahan menuju ujian....air mata jatuh berjujuran... tangan di angkat mengarahkan pada tuhan......

Ya Hayyu Ya Qayyum,

Dengan rahmat Mu, aku meminta pertolongan....
Baikilah untuk ku dan urusan ku semuanya.....
Dan jangan kau tinggalkan diri ku ini walaupun pun dengan sekelip mata....

Penantian...... ku masih menanti..... Iman.. agar kau hadir..... dalam diri penuh kekusutan....



Wednesday, 8 August 2012

Lembaran baru demi satu kehidupan satu perubahan



Setiap yang bernama insan perlukan perubahan dalam kehidupan, kita bukannya maksum yang bebas dari dosa dan kesilapan. Jika dihitungkan dosa tidak tertanggung oleh fikiran dan rasa mengiranya. Begitulah banyak dosa yang insan lakukan. Air mata taubat jualah menjadi saksi bahawa insan sudah berhijrah dan laksanakan perubahan. Jalan mujahadah menjadi jalan pilihan meninggalkan larangan memburu suruhan. Itulah hakikat menjadi hamba. hamba kepada pencipta. Berserah kepada apa yang Allah swt berikan.Baik dan buruk semuanya di syukuri kerana Allah swt tidak sekali-kali zalim dan mengecewakan hambaNya.

Kehidupan di Bumi Nabi, Kota Madinah telah merubah hidup ini mengenal cinta kepada Pencipta. Dahulunya cinta itu biasa-biasa tetapi sekarang ia merubah menjadi luar biasa. Namanya sering di sebut-sebut, rindu padaNya membuak-buak, apatah lagi air mata tanda ingatan padaNya sering membasahi bumi. Begitu luas kasih sayang Allah. Di ambilnya kita tatkala kita berdosa. Walau kotor Dia titipkan juga rasa kasih sayang. Suara kecil masih merintih nun jauh di lubuk sanubari. Itulah Rab, Tuhan yang menciptakan, semakin dekat kepadaNya semakin rindu dan rasa cintaNya mendatang.

Perubahan itu ku mahu coretkan disini, biarlah ia menjadi satu coretan bekalan iman untuk rasa merasai di antara kita semua. Bumi Madinah telah menjadi satu bumi rindu-rinduan bagi seluruh umat Islam. Apabila kita menyebut tentangnya, terasa betul ruhnya yang tersendiri. Mengkagumi bumi wahyu, bumi perjuangan, bumi tauhid, bumi kasih sayang, dan bumi saksi bahawa insan terpilih telah mengorbankan diri demi satu pengorbanan yang jauh menuju akhirat untuk menemui wajahNya.

Di sanalah letakknya jasad Nabi kita yang mulia, selawat dan salam sejahtera ke atas baginda, seluruh kaum keluarga dan sahabatnya. Menziarahi maqam bagind mengetarkan jiwa, menitiskan air mata, melunakkan hati dan menjadikan rindu ini bertambah kuat untuk bertemu dengannya di telaga kauthar pada satu masa nanti. Amin,Tapi ia cuma harapan, atau sebuah impian jika dirimu masih tidak berubah dan berhijrah, anggaplah ia seperti satu igauan yang tak akan kau dapat melainkan dengan berhijrah kepada kebaikan.

Jiwa yang dahaga, hati yang lara, zikir yang luruh serta fikir yang lusuh sering tertipu dengan kenikmatan dunia yang sementara. Kenikmatan dirasakan seronok berpanjangan, gelak ketawa, suka duka menjadi hiburan berterusan, tetapi tangisan, sesalan, pengampunan sekali sekala sahaja, itupun dalam masa yang singkat. Akhirnya iman kembali rapuh dah luluh semula. Bukan tidak mengerti sifat iman itu yazid dan yanqus yakni bertambah dan berkurang, tapi kurangnya hingga melupakan Tuhan. Tuhan yang menjagamu siang dan malam. Kau sering leka wahai insan!

Diri ini sangat berdosa di sana, tapi jiwa kecil ini masih menjerit rintih menyesali perbuatan lepas. Kadang kala kau bangun tekad dan azam, tapi rupanya kau pura-pura dan ada kepalsuan dalam istighfar dan taubatmu. Tangisanmu tidak memberi kesan yang mendalam dan tidak benar-benar membekas agar dirimu kukuh utuh menghadap wajah kepada Allah. Terusan saja dirimu dengan dosa, dengan prasangka dusta durjana dirimu akan diampunkan. 

Bukan tidak kau tahu Allah itu sifatNya Ar-Rahman tapi kau cuba menggunakan sifat itu seolah-olah kau akan diampunkan semuanya. Bagaimana dirimu diampunkan jika taubatmu tidak memberi kesan pada kehidupanmu, akhlakmu, cara fikirmu, dan zikirmu. Usah kau tertipu dengan hasutan kejahatan. Bukankah rasa harap pada Allah itu perlu di selangi  juga demgan sifat takut padaNya. Kau hanya harap Allah mengampuni mu, tapi kau lupa yang kau juga perlu takut yang Allah swt berhak mengazabmu jika Dia kehendaki. Itu semua pilihanmu. Sudah diberitahu itu dosa itu derhaka.

Akhirnya ku tunduk jua. Hakikatnya ku sudah jauh dari rahmat Allah. Dalam rasa senang dan tenang rupanya ku sering kecundang. Jauh dan terus menjauh.

Musibah kehilangan dompet telah memberi berita gembira bahawa Allah mahu hadiahkan taqwa dalam jiwa dan iman dalam hati. Ku ditimpa musibah. Rebah dalam resah. Di penghujungnya ku bertaubat. Memohon ampun atas apa yang berlaku. Hikmah musibah itu diganti dengan kenikmatan merasai iman. Rupanya Allah masih sayangkan diriku yang penuh kehitaman dan zulumat.Dia berikan kekuatan atas musibah yang melanda. Berkat bersabar dan tabah semuanya jadi mudah.

Semuanya di ganti baru, 4 kad bank, kad pelajar, kad pengenalan Arab Saudi, kad pengenalan Malaysia, Lesen, no. telefon, akaun facebook, email. Aku tidak tahu apa hikmah tersurat dan tersirat dengan semua yang baru ini. Tapi aku yakin semuanya adalah demi membawa lembaran baru, demi satu kehidupan dan satu perubahan. Moga-moga Allah swt kurniakanku hati yang baru agar dan mengharap hati yang lama terus menghilang. Moga hatiku yang baru ini terus maju menuju Allah yang satu!

Rasa - Rasa dalam solat





Petang tadi masa uncle jalan-jalan di kawasan depan Masjid itu terdengar ada orang beri ceramah. Terkejut juga ada ceramah waktu petang-petang begitu. Pembesar suara yang di pasang boleh di dengari sampai ke luar.

Oh yeke uncle?! Uncle jogging ke di kawasan masjid itu?
Eh tidak lah, uncle jalan je. Uncle saya ni agak berumur juga dalam 66 tahun, tapi awet muda dan masih hensem orangnya, maklumlah doktor perubatan! Mesti pandai jaga kesihatan.

Tapi masa uncle jalan di belakang masjid pula, terdengar ustaz yang beri ceramah tu menjerit seperti sedang serius kemarahan. Senyum kecil uncle tertanya-tanya kenapa marah-marah dalam bulan puasa ni?

Oh waktu tu ustaz tu sedang beri ceramah tentang solat.
Ada program tentang muhasabah Ramadan di sana. Saya salah seorang pesertanya! Rupanya uncle ada di situ ya.

Slot mengenai memahami bacaan solat itu sangat berkesan. Kebanyakan peserta yang hadir akan berangkat ke tanah suci bagi menunaikan haji tahun ini. Ramai yang sudah veteran. Anak muda macam saya boleh kira. Kami diedarkan beberapa helai kertas soalan mengikut kumpulan. Para peserta mesti menterjemah apa makna bacaan dalam solat yang ada dalam kertas soalan itu.

Surah Al-Fatihah, Doa iftitah, zikir rukuk, sujud, duduk diantara dua sujud, tasyahud awal dan akhir, doa qunut dan lain. Semuanya kena diterjemah dalam kumpulan yang diberikan. Nah ambik rasakan!

Duduk di kumpulan tali hitam, yang dinamakan kumpulan Saidina Abu Bakr. Maka mulalah kami menterjemah. Kelihatan ramai yang macam tidak tahu, dan serba salah mahu terjemah. Dengan ilmu bahasa arab yang ada pada saya, saya membantu sambil sama-sama bincang. Kumpulan lain? Saya tidak tahu keadaaan mereka.

Masa sudah tamat! Kami nak kutip semua terjemahan anda.

5 Minit kemudian:

Kata salah seorang ustaz yang mengajar itu, juri dah semak apa yang anda lakukan.

“ Jika beginilah kertas yang kami terima, apa yang kamu semua telah buat!! Solat apa yang kamu laksanakan jika apa yang dibaca tidak difahami!! Terjemah Surah Al-Fatihah pun tidak lengkap!! Sudah berpuluh tahun solat tapi tidak faham! Sambil mengeraskan suara agar nampak lebih serius. Sedih jika keadaanya begini. “

Semua tertunduk malu, ada yang tersenyum tersipu. Bahkan saya mendengar suara tua yang datang dari kumpulan lain mengatakan ‘’ Kami tidak ada KAFA dulu ustaz! “ ops….

Masa sedang menterjemah tadi, saya memerhatikan kumpulan di sebelah, ada budak masih dibangku sekolah lagi bersama kumpulan itu. Tiba-tiba terdengar lagi seorang pakcik bercakap padanya,

“Eh kau kan belajar arab! Kau mesti tahu.. “ tolonglah terjemah! Pakcik tu memang tidak malu! Aduh segannya…..

Jadi huru-hara waktu itu. Baru tahu dan sedar semua kita jahil. tiada ilmu, solat berpuluh tahun pun tidak faham, jadi bagaimana mahu hayati kalau tidak faham, Jika tidak dapat hayati, bagaimana mahu khusyuk. Allah……sudah jauh solat kami ini. Patutlah solat yang dilaksanakan tiada impak dalam diri. Akhlak masih ditakuk lama, iman masih biasa-biasa, masih mengumpat, berdusta, dan melakukan maksiat. Dek solat tidak dapat cegah kemungkaran. Itulah solat yang tiada rasa!


Usrah peneguh ukhuwwah – SAHABAT




 Saat ku gusar, dan resah, teringin ku mencari teman pendengar bicara. Berada di Madinah jauh dengan tanah air pasti mahukan teman. Dengan kasih sayang Allah kutemui juga dengan insan ini. Jiwa besar, nasihatnya ringkas tapi membekas, sering memberi pesanan dan peringatan. Ku pernah mendengar ceritanya bahawa insan ini baru menghabiskan pengajiannya di peringkat BA Dakwah dan Usuluddin. Dengarnya insan ini cenderung pada memberi motivasi dan dakwah. Wah baguslah begitu. Kita punyai minat yang sama! Ku mesti berjumpa dengannya! Azam kecil.



 Dia menjadi naqib atau ketua pembimbing dalam usrah kami di Madinah. Bilangan kami semuanya ada 12 orang. Semuanya satu batch. Bermulalah pertemuan pertama kami di hostel pelajar. Biasa-biasa sahaja tapi luar biasa! Di situ kami bertaaruf lebih mendalam. Mana tidaknya kami kena hafal semua nama penuh kawan usrah, belajar di mana, umur berapa, berapa adik beradik dan anak keberapa, cita-cita, hobi dan lain-lain. Semua kena tulis dalam buku nota yang ana pesan pada antum dalam sms ya! Pesan naqib.



Seminggu sekali kami akan adakan pertemuan ini, macam biasa lepas solat isyak. Dulu makan lepas habis usrah, tapi sekarang makan dulu, katanya baru cepat hadam, sebab lepas ni dah nak tidur. Kebanyakan kami memang setuju. Lapar. Sangat gembira bersama mereka. Senyum tawa, gurau senda semuanya jadi kenangan. Usik mengusik juga tak pernah terlepas. Tapi semuanya tidak melampaui batas, kerana kami semua sudah matang, tahu batasannya.

Usrah ini di namakan SAHABAT oleh pelajar-pelajar Madinah. Bagi saya tidak kira apa namanya,isi itu usrah itu yang penting. Kalau namanya KAWAN pun tidak mengapa, asal kami tidak LAWAN. Terbinalah usrah ini bagi memperbaiki segala yang ada. Silibus kami biasa-biasa sahaja, guna hadis 40 Imam Nawawi. Nampaknya kerja kami kerna menghafal. Satu minggu 3 hadis berserta sanadnya ya! Erm.. InsyaAllah. Berat juga tapi demi perjuangan kami laksanakan.
 
Usrah ini biasa-biasa juga, tapi kami ada visi. Apa yang mahu dicapai. Tidak perlulah saya sebutkan disini. InsyaAllah kami semua sedang mujahadah kearah itu. Alhamdulillah usrah berjalan seperti biasa. Cumanya kadang kala ada juga ikhwah yang tidak dapat hadir termasuklah saya! Sibuk dengan kuliah dan membaca. Aduh hampa juga kadang kala tertinggal usrah. Memang benar istiqamah itu sukar.




Sampailah ke penghujung semester kami adakan pertemua terakhir. Makan di restoran pizza. Di sana kami bertemu buat kali terakhir, sambil menikmati makan malam, kami dengar nasihat dari abajid. Perkongsian juga di utarakan. Saya sebenarnya sudah kenyang malam tu, tapi makan juga. Moga-moga perjalanan kami sentiasa ada keberkatan di sisi Allah. Walaupun saya ketua usrah tapi saya lah yang paling lemah di situ. Malu dengan sahabat-sahabat lain yang baik dan pandai-pandai. Harapnya saya dapat belajar dengan mereka dan kesan kebaikan mereka masuk dalam diri saya. Amin.

Monday, 6 August 2012

Mukmin Profesional - Al Qawiy Al Amin





Modul yang banyak memberi inspirasi pada diri dan masyarakat secara umumnya ini sangat efektif. Huraian yang mudah di hadam, kata-kata dan bahasa yang indah, kiasan atau analogi yang tepat, rasa merasa dengan hati dan disertai elemen fikir dan zikir sangat memberi impak yang baik pada individu seseorang.

* Mukmin juga dalam erti kata lain adalah seorang yang amanah atau dalam bahasa arabnya al-amin
* Profesional juga dalam erti kata lain adalah seorang yang kuat atau dalam bahasa arabnya al-qawiy

Bukan sahaja baik tapi cerdik!

Bukan sahaja pintar tapi benar!

kisah Nabi Musa dan anak Nabi Syuaib as mengenai tafsiran ayat :

                                 
                                     قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ


Maksudnya : Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. ( Al-Qasas : 26 )

Semoga Allah swt mengurniakan kita hidayah untuk jadi orang mukmin dan taufiq untuk jadi mukmin yang kuat dan bagus pekerjaannya. Mukmin dikaitkan dengan hamba yang baik dan profesional dikaitkan dengan khalifah yang memberi kebaikan.

Profesional bukan sahaja tertumpu pada perkerjaan yang besar dan hebat-hebat sahaja, tapi ia merangkumi semua jenis pekerjaan, hatta yang menjual nasi lemak dan menjadi tukang sapu pun juga di kira profesional.

Bagaimana profesionalnya?

Menjual nasi lemak dengan bungkusan yang bagus, lipatan yang kemas, lauk pauk yang enak dan keadaan kedai yang bersih. Cara menjual dan melayan pelanggan dengan baik dan ramah. Bagi tukang sapu pula, melaksanakan kerja dengan displin, datang kerja pada waktunya, memakai pakaian yang kemas dan bersih, menyapu sampah menggunakan penyapu yang baik dan lain-lain.

Tidak perlu terhadkan profesional pada pekerjaan seperti arkitek, jurutera, doktor, pensyarah dan peguam sahaja. Ianya meliputi semua pekerjaan. Jadi semua perkerjaan itu mesti di lakukan dengan adanya sifat mukmin atau nilai-nilai keislaman. Kerja dengan jujur atau amanah, menghormati pekerja lain, tidak membuang masa dan mencuri masa, datang awal, dan sentiasa menjaga solat wajib walaupunketika waktu bekerja.

Semoga semuanya ada manfaat. InsyaAllah gagasan ini akan diterukan agar semua masyarakat tahu dan sedar peri pentingnya menjadi orang yang baik, dan memberi kebaikan.

P/S : Ikuti juga modul ini di IKIM.FM pada setiap hari isnin, jam 5.15 PM.