Mengharap hari esok aku masih diberi ruang untuk terus bernafas... memperbaiki diri dan terusan mengatur langkah untuk menuju Allah... perjalanan mujahadah yang sentiasa jatuh berkali-kali... penatnya tidak terperi... jiwa dan perasaan dihanyak rasa sesak dan tidak tenteram... dosa, noda jika kau berbau tentu diri ini tiada siapa yang mahu dekati... Hati terus berbicara adakah masih ada ruang untuk terus bangun menuju Allah... akal kata mampu hati rasa lemah... berbekasnya dosa itu pada sang hati... Ya Allah apakah ini ujian untuk mendapat taqwa Mu?
Aku mengambil kesempatan malam ini untuk gagah menulis apa yang ada didalam hati. Inilah diari hati agar ku puas dapat menumpahkan pada kertas dan seakan ia bukti buat Tuhan aku mahukan ketenangan tapi aku sentiasa jatuh dalam ujian. Ya Allah dengarlah hati ini sedang berbicara pada Mu. Ku tahu Kau maha mendengar, sangat mendengar segala apa yang ada dibumi dan sekaliannya, Ya Allah aku tahu kau maha melihat, mampu melihat sedalam-dalamnya apa yang tidak mampu kami lihat dan fikirkan. Dengarlah rintihan ini, lihatlah air mati ini, pandanglah tangan ku ini yang sedang mengangkat berdoa bersungguh-sungguh pada Mu ini... Ya Allah aku rebah, aku mengaku aku silap, aku salah, aku berdosa, aku zalim dan aku hamba yang hina, aku tiada apa-apa wahai Tuhan.
Tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Mu, Kau yang maha tinggi dan maha mulia. Ya Allah, dini malam ini aku datang lagi pada Mu, dengan hati yang kotor dan jiwa yang lara. Terimalah taubatku ampunilah aku. Wahai tuhan bukankah Kau maha penyayang dan pengasih? bukankah Kau maha pengampun dan penerima taubat? tidakkah Kau kasihan akan hamba Mu ini meminta-minta agar diberikan sinaran hidayah semula bagi memandu sisa baki hidup dunia yang penuh kehinaan ini. Ya Allah jika kau tidak memberi hidayah dan mengampuni ku, apakah nasib yang bakal ku tempuhi esok hari? alam barzakh Kau itu benar, azab siksa Kau itu benar, neraka Kau benar, syurga nikmat Mu itu benar. Mengapa tergamak hati ini mendustakannya wahai Tuhan?
Wahai Tuhan jika doa yang dibaca ini tidak ikhlas, ajarkanlah aku ikhlas agar Kau terima doa ku ini. Bukankah kau pernah bersabda, berdoalah nescaya Aku akan perkenankan. Ya itulah sabda Mu, penyembuh luka lara ketika merasakan pintu hidayah tidak akan dibuka lagi, ketika merasakan Kau sedang menjauhpada hamba Mu. Ya Allah ajarlah, baikilah doa ku pada Mu agar ku benar-benar ikhlas menyerahkan segalanya pada Mu. Ya Allah aku sungguh-sungguh berdoa agar Kau kembali menyayangi ku, kembali memerhatikan ku dan menjaga ku dari segala maksiat dan dosa. Ya Allah dosa ku menggunung tinggi, apakah ada disana ruang lagi? Wahai Tuhan entah berapa kali aku mengulangintaubat ku pada Mu, tetapi ku mungkiri jua. Apakah aku akan diampuni lagi kali ini?
Wahai Tuhan hati ku ini sedang sempit, susah sekali bernafas dengan damai dan tenang. Aku telah jauh dari rahmat dan kasih Mu. Gara-gara dosa semuanya jadi susah. Berapa kali aku berjanji pada Mu? ku jatuh juga kali ini, tapi disana seakan ada ruang dalam relung hati yang paling dalam bahawa masih ada kesempatan untuk berubah, berhijrah dan terus bermujahadah. Titipan rasa sebersalah dan bergerak mahu berubah ini bukankan dari taufiq Mu wahai Tuhan? Ya Allah pimpinlah hati ini, sampai benar-benar menemui rasa cinta dan harap pada Mu. Ya Allah kembalikanlah ketenangan yang pernah Kau kurniakan itu dulu. Aku pasrah, aku lelah dan aku serahkan segalanya pada Mu wahai Allah.
Wahai tuhan, ada satu perkara yang pernah aku minta sebelum belajar disini, aku memang berharap benar untuk menuntut ilmu disini, dan ia sangat ku harapkan sehingga aku tidak lupa untuk berdoa pada setiap doa yang mustajab doanya. Kau sahaja Tuhan yang tahu betapa inginnya aku belajar dibumi ini. Tetapi pernah aku melepaskan segala-galanya pada taqdir Mu dan mengharap penuh pada taqdir. Ya Allah letakkanlah aku ditempat belajar yang boleh aku menambah cinta dan taqwa ku pada Mu. Aku mahukan cinta Mu aku mahukan taqwa Mu. Akhirnya terpilih jua ku ke sini. Tetapi wahai Tuhan kenapa aku merasakan sebaliknya? Bukankah aku bersungguh-sungguh mahukan tempat belajar yang mampu meningkatkan cinta dan taqwa ku pada Mu. apakah aku sedang diuji?
Banyak benar ujian yang telah ku lalui selama berada dibumi ini, ujian, ya itulah kaffarah atas dosa yang dilakukan. Ya Allah aku rasa penat dengan ujian dan cabaran ini, apakah masih ada kekuatan? apakah masih ada disana ruang untuk kembali semangat menuntut ilmu. Ya Allah aku memang suka menambah ilmu bahkan itulah tujuan ku hadir disini. Tapi ia semakin gagal dan pudar. Tahun bersilih ganti aku tetap dengan jiwa yang masih lemah dalam menuntut ilmu. Ya Allah begitu cemburu melihat teman-teman lain sedang bersemangat menuntut ilmu dengan baik dan teratur sedang diri diserang rasa malas dan lemah. Ya Allah jadikanlah aku orang yang menyerah diri dan bertaubat pada Mu, agar kekuatan itu hadir. Ya Allah jadikanlah aku orang yang ikhlas bertaubat pada Mu.
Jika tidak setelah selesai hutang ku dengan Mu dan manusia wafatkanlah ku. Aku telah penat melalui semua ini. Redhalah aku wahai Tuhan, aku mahukan perhatian Mu, aku mahukan cinta Mu, aku mahukan kasih Mu, aku mahukan bimbingan hidayah Mu. Ya Allah kasihanilah aku yang lemah dan hina ini. Masukkanlah aku dalam golongan yang soleh apabila bangun dari alam barzakh nanti. Ya Allah matikanlah aku dalam husnul khatimah dan keampunan Mu. Ya Allah dengarlah rintihan terakhir ini, jika aku mati bersaksilah di atas kertas putih ini aku bersaksi bersungguh-sungguh bahawa Tiada Tuhan Melainkan Kau, dan Nabi Muhammad saw itu pesuruh Kau. Ya Allah aku bersaksi, Ya Allah aku mengakui sepenuh hati ku. Ampuni dan kasihanilah hamba Mu ini....
Ya Hayyu Ya Qayyum...
Birahmatika astagith...
Aslih lii syakni kullahu...
Wala takilni ila nafsi tharfata 'aini...
No comments:
Post a Comment