Tuesday 31 July 2012

Ajaibnya Madinah aku berhijrah! Indahnya buku ini aku berubah!


Masjid Nabawi Madinah Al-Munawwarah

 Kehidupan di Madinah banyak sungguh mengajar erti kehidupan. Ya Allah tunjukkan aku cara bagaimana hendak bersyukur pada Mu! Agung benar nikmat Mu ini! Sepanjang di Madinah aku tidak terlepas membuat kesalahan dan dosa. Dosa yang menggelapkan dan menghitamkan hati, tapi KAU tidak pernah tingalkan hamba Mu ini keseorangan, ada sahaja jalan taubat dan istighfar yang kau anugerahkan. Kau beri susah Kau juga datangkan senang. Kau beri gelisah Kau juga berikan ketenangan.

Di sana Allah swt telah memberikan saya musibah yang sangat menyusahkan dan mendatangkan gundah gelana. Saya kehilangan beg duit, yang ada padanya, kad-kada bank, duit 600 riyal, kad pelajar, Kad Pengenalan Arab Saudi dan Malaysia, lesen motor dan kereta serta lain-lain. Ini sangat menguji saya kerana pada masa yang sama saya sedang menduduki peperiksaan akhir di Kuliah Syari’ah. Waktu itu saya ada 6 lagi subjek yang belum di ambil. Susah, gelisah dan resah.

Termenungkan dosa yang banyak, dan punca musibah yang datang. Saya rebahkan badan mengalirkan air mata, ya memang benar aku banyak dosa yang perlu ditanggung. Siapalah aku hanya seorang hamba Allah. Tidak layak memberontak, mendidik hati untuk meredhai. Redhalah, terimalah hakikatnya aku adalah hamba. Hamba yang banyak dosa. Hampir juga tidak dapat pulang bercuti ke tanah air kerana kehilangan Kad Pengenalan( iqamah ). Hampir setiap hari saya menghubungi pihak polis di Masjid Nabawi, tapi katanya belum ada laporan. Memang pedih dan sangat pahit!

Semasa sedang resah gelisah memikir masalah. Allah jualah pemberi penyelesaian masalah. Saya di hadiahkan Khidmat Pesanan Ringkas dari Sang Murabbi di Malaysia:
 


Ya Allah bantulah anakku, permudahkan urusannya dan hiasilah hatinya dengan ketaqwaan dan kesabaran. Amin. Sangka baik dengan Allah, banyakkan istighfar dan selawat. InsyaAllah, ada penyelesainnya. Amin. Amin.

Sedikit sebanyak telah meredakan rasa susah ini. Hari diteruskan dengan kehidupan seperti biasa, cumanya saya lebih banyak diam dan termenung. Jika menelaah dan membaca bersama kawan pun saya tidak banyak berkata-kata. Kadang kala senyum dan tawa tapi hati siapa tahu resah memanjang. Saya lawankan jua meredhai taqdir. Teman-teman ramai yang memahami masalah yang dihadapi. Tapi saya senyumkan sahaja tabahkan hati.

Dengan keizinnan Allah swt, selepas beberapa hari ditimpa musibah,saya digerakkan hati untuk mencapai buku
Di Mana DIA di hatiku yang di beli sebelum bermusafir . Belum sempat membacanya sebelum ini, diletakkan dirak buku sahaja. Entah kenapa buku itu yang menjadi pilihan, saya terus membacanya dan sentiasa membawa buku itu walaupun pergi mengulankaji pelajaran. Baru 2 ke 3 muka surat sudah banyak mutiara kata yang saya dapat. Sepanjang membacanya, air mata sentiasa membasahi pipi. Seperti ada ruh yang datang menghinggap. Aura buku ni telah membantu saya melakukan perubahan dan saya telah berubah, dan bertaubat!


Buku yang di beli sebelum bermusafir


Semenjak dua tiga minggu selepas mendapat musibah dengan bertemunya dengan buku ini, saya sudah banyak berubah. Masjid Nabawi menjadi bukti, saya melepaskan rindu pada Allah dan Nabi dengan sepenuhnya. Solat-solat selepas itu banyak yang menyebabkan saya sedar dan menitiskan air mata. Mengangkat tangan berdoa, bermunajat pada Allah, dan terus berazam melakukan perubahan. Masih ingat lagi kata-kata dalam buku itu yang membekas dihati.

Jalan mujahadah itu indah!

Terimalah kesusahan yang sementara demi kesenangan yang abadi, dunia tempat menyemai, di akhirat nanti kita menuai…….

Inilah yang sering di ungkapkan:

“ Orang yang berjaya orang yang memaksa dirinya untuk berubah, manakala orang yang gagal berubah hanya apabila dipaksa!”

“ Tiada ada jalan lain wahai diri, kecuali berubahlah……”


 
Walaupun terasa diri diselebungi selimut dosa dan kemelut alpa, usah sekali-kali putus asa. Begitulah seharusnya pengukuhan kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunanNya dan kunci pintu keampunan itu adalah harapan. Moga-moga harapan saya menjadi insan yang berubah serta mujahadah di beri kekuatan oleh Allah swt sentiasa. Kita hamba mujahadah, jangan mengalah!

Terima kasih pada Allah yang membuka jalan dan masih memberi ruang. Terima kasih kepada penulis buku yang menjadi sebab diri berubah. Bumi Madinah sungguh ajaib, di sanalah saya temui iman!

No comments:

Post a Comment