Saturday, 28 July 2012

Ahlan Ramadhan Ahlan Coretan, Menambah kesyukuran

Assalamualaikum wbt,

Ku panjatkan kesyukuran kepada Allah swt di atas keizinanNya memberiku sekelumit kekuatan membuka blog ini untuk memberi kebaikan serta berkongsi kata untuk dirasa.Selawat dan salam sejahtera ke atas Nabi Muhammad Saw serta kaum keluarga dan sahabat-sahabatnya. Semua mereka sudah jauh dan lama pergi meninggalkan kita, yang tinggal bekalan ilmu dan iman yang dibawa oleh para ulama dan mujahid yang tidak putus-putus berjuang menyampaikan pada kita semua.

 Kerana Allah yang Maha Penyayang yang telah membuka pintu hati ini, memberi sedikit masa dan ruang untuk mencoret sedikit kata dari selaut ilmu Allah yang maha luas. Kesyukuran ini bertambah tatkala bulan ramadhan yang penuh keberkatan ini terpilih menjadi bulan dan masa untuk memberi secubit kebaikan. Hakikat menjadi hamba Allah mesti sentiasa dirasai, agar diri sedar bahawa kehidupan ini adalah hanya sementara. Hamba Allah selamanya.

 Masa yang ada, digunakan sebaik mungkin untuk terus mengabdikan kepada Allah dan mengejar cintaNya. Kehidupan yang seketika inilah menjadi sumber kekuatan bagi diri ini bangun dan bangkit melakukan sesuatu, menjadi manusia yang baik dan dapat memberi kebaikan. Buatlah kebaikan walaupun sedikit agar ia menjadi bekal menuju Ilahi, menjadi teman gembira di akhirat sana tatkala manusia yang lalai dan ingkar berlari-lari mencari erti, erti yang dulu mereka lupakan dan mainkan.

Berbahagialah bagi mereka yang hidupnya diletakkan sepenuhnya untuk Allah swt, siang dan malamnya, pagi dan petangnya lidahnya sentiada dibasahi dengan basahan zikir. Kewajipan menundukkan dahi ketempat sujud, merukuk menghinakan diri kepada TuhanNya dengan rasa kehinaan dan perasaan malu. Itulah kebahagian bagi mereka yang mengerti peranan hakikat seorang hamba. Hati yang terpaut dan terus bergantung pada Allah terus menerus mencari cinta dan redhaNya menjadikan mereka tersenyum walaupun mereka ditimpa musibah dan kesusahan. Itulah hakikat menjadi hamba. Hamba Allah, hamba mujahadah.

Ku coretkan sedikit kata agar kita sama-sama dapat merasa siapa itu pencipta yang selalu kita lupakan. Moga-moga menambah iman, taqwa dan kesyukuran. Untuk Allah, untuk Islam untuk kita semua menuju akhirat menemui syurga tanpa singgah sebentar pun di neraka. Semuanya untuk Allah. Allah tujuan kita. Ya, teruskan perjuangan membetulkan jalan menuju tujuan. Semuanya untuk Tuhan, Dia lah tujuan.

"Ya Allah bantulah ku menuju Mu, tolonglah aku sepanjang menjadi hambaMu yang mujahadah, berilah aku iman yang kuat untuk tabah menghadapi kesusahan dunia yang penuh tipu daya dan pancaroba. Kiranya dunia ini sangat sementara, berilah aku hikmah dan kebijaksaan agar dapat mentadbir urusan ini selari dengan kehendak Mu. Redhailah aku, sayangilah aku, bantulah aku, bukalah pintu hati ku". Amin Amin.

2 comments:

  1. Mamruk! Akhirnya tercipta juga blog enta yang diimpikan, insyaAllah sama-sama menambah baik insyaAllah :)

    jemput ke blog ana yang dhaif wa faqir ilallah

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih akhi kerana banyak memberi sokongan dan dorongan. InsyaAllah kita cuba istiqamah. Amin.

    Ana akan ziarah blog anta nanti ya. Sekarang sedang mengurus urusan lain.

    Jazakallahu khair.

    ReplyDelete