Sudah sekian lama saya tidak meluangkan masa untuk terus menulis dan mencoret. Terasa rindu untuk meluahkan rasa dan kata. Menulis bukannya mudah, perlu mencari masa yang lapang dan hati yang tenang. Jika tidak, menulis akan menjadi perkara yang sia-sia kerana tidak memberi impak yang baik. Syukur pada waktu ini Allah masih memberi kesempatan kepada saya untuk mencoret sesuatu. Pejam celik sudah 2 bulan saya berada di Madinah sejak pulang cuti yang lepas.
Cepat benar masa yang berlalu, semuanya terjadi sepintas lalu seoalah rasa tidak sedar apa yang telah berlaku. Maha suci Allah dan Segala puji bagi Allah swt kerana dengan izin Nya saya baru selesai melaksanakan rukun Islam yang ke lima iaitu menunaikan haji. Madrasah haji adalah madrasah tarbiyah yang sangat dasyat dan hebat. Subhanallah. Terlalu banyak perkara yang dipelajari sepanjang melaksanakan haji. Rupanya ada lagi madrasah yang lebih hebat selain madrasah ramadhan. Syukur pada Allah kerana pada usia muda Allah telah memilih saya untuk melaksanakannya. Allah Allah.
Ya Allah kembalikanlah ketenangan....
Titisan air mata ini sering berderai tatkala mengingati Nya dan hari yang bakal di pertemukan dengan Nya di alam barzakh dan padang Mahsyar kelak. Banyangan dosa yang begitu banyak membuatkan hati rasa sebak untuk terus memohon keampunan kepada Nya. Namanya seorang insan, ia pasti akan alpa dan lalai, berkali-kali janji tidak mahu mengulangi tapi tetap juga mengingkari, tetapi Allah tetap menyayagi dan memberi rasa simpati.
Ketenangan yang dulu diusahakan seakan-akan sudah mula menghilangkan diri dan pudar. Wahai Tuhan apakah ini semua ujian yang menentukan? Iman yang ini makin luntur, dulu ianya manis, sekarang rasanya sudah mula rasa tawar. Ibadat sunat sudah pun mula berkurang dek iman yang semakin lemah dan merudum. Ya Allah, iman pada Mu ini lebih berharga dari segala harta dan mutiara, bantulah kami menjaganya dengan baik sampai kami bertemu dengan Mu kelak, ya Allah bantu kami, tolong kami.
Kadang kala mesti pernah merasa Allah seperti tidak lagi menyayangi kita, rasa mahu putus asa dari mendamba cinta padanya. Penat dan lelah yang kita usahakan seakan jatuh begitu sahaja, maka soalan bisikan syaitan datang menerjah dalam ruangan kosong " wahai teman, Tuhan tidak lagi menyayagi mu lagi, Tuhan sudah tidak percaya akan janji mu yang sering dusta " soalan ini seakan menjadi jarum yang menerjah dalam ruangan hati. Hati memaksa tolak dengan berkata " Ya Allah, benarkah aku tidak lagi disayangi lagi oleh Mu?" tiba-tiba menitislah air mata tatkala merasa perasaan yang terlalu hiba, siapa tidak takut jika Allah tidak lagi menyayangi kita, dan Allah tidak lagi peduli kita di dunia ini.. Ya Allah siapalah kami tanpa Mu.
Perjalanan mujahadah dan susah payah mencari redha Allah itu bermula lagi, diri ini seakan bangun semula dari kelekaan dan kealpaan untuk terus menuju Tuhan demi satu tujuan iaitu mencari nilai iman. Ya Allah berilah kami peluang sekali lagi membaiki diri dan menginsafi apa yang sudah kami lalui. Kami menyedari begitu banyak kelalaian yang kami sudah perbuat, seakan kami tidak megerti apakah erti janji pada Pencipta yang telah menciptakan kami. Ya Allah dengan nama Mu yang indah, arrahman dan arrahim, kasihanilah kami, kami hamba Mu yang lemah, adakah Kau akan menyiksa kami dalam api neraka seburuk-buruk tempat berakhir?
Begitulah kehidupan seorang insan, tak terlepas dari ujian. Ujian perasan, ujian harta, ujian takhta dan pelbagai lagi. Allah mencampakkan ujian ini untuk menguji sejauh manakah iman kita pada Nya. Adakah kita benar-benar beriman? dan Allah juga mahu meningkat darjat kualiti iman kita pada Nya. Selalulah mohon bantuan dari Allah untuk mentaatiNya dan menjauhkan segala larangan Nya. Bagaimana hubungan kita dengan Tuhan pada waktu ini, hati dan rasa anda mampu menjawabnya.
Ya ALLAH kembalikanlah ketenangan.......
No comments:
Post a Comment