Monday 6 August 2012

Muhasabah Ramadan

 
Tahun silih berganti dan ramadan terus akan meninggalkan kita. Bulan yang penuh keberkatan, padanya keampunan, kasih sayang Allah, dan bulan penuh rindu-rinduan bagi mereka yang sudah lama menantikannya. Pada bulan ini manusia yang beriman di wajibkan berpuasa, menahan lapar dan dahaga, menjauhkan dari perkara-perkara yang membatalkan  puasa walaupun ianya halal pada bulan-bulan yang lain. Mengurus nafsu  agar tunduk pada yang Satu, mendidik hati dan jiwa agar tabah menhadapi ujian dan halangan. Itulah bulan yang mulia yang dihadiahkan pada umat Muhammad saw.

Segala puji-pujian kepada Allah swt, kerana mengizinkan diri ini untuk menghadiri Kursus Muhasabah Ramadan di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya semalam. Program kerjasama yang di anjurkan oleh Masjid Tabung Haji Kelana Jaya, Taha D’ Kelana dan Fitrah Perkasa Sdn Bhd. Program yang sangat memberi manfaat kepada para perserta, modul yang berkesan memberi seribu rasa dan memenuhi jiwa dahaga.

Puasa dan taqwa sangat significant, orang yang berpuasa benar-benar kerana Allah dan menjaga semua perkara yang boleh membatalkan puasa dengan penuh tawajuh akan mendapat habuan taqwa. Sayang sekali, masyarakat kita pada harini telah jauh dari mencari tujuan puasa untuk memperolehi taqwa. Puasa hanya dijadikan adat semata. Puasa kerana orang lain juga berpuasa, hanya sekadar mengempang  dari makan dan minum, akhirnya pada waktu berbuka nanti apa yang diempang di lepas selepas-lepasnya.

Ramai yang lebih mementingkan solat sunat tarawih dari solat fardu secara berjemaah .Mana tidaknya, solat maghrib lengang dengan kehadiran Jemaah, kadang kala ada juga surau yang tidak diazankan dan hanya tinggal sunyilah surau tanpa Jemaah dek kerana umat Islam sibuk melayan nafsu makan dan minumnya di rumah. Cuba lihat waktu solat subuh di masjid atau di surau, bilangannya bertambah walau sedikit, kenapa bertambah dari bulan-bulan lain? Kerana pada bulan lain umat Islam sibuk melayan nafsu tidurnya. Jadi ia bertambah kerana mungkinn adanya sahur membantu juga Jemaah bangun melaksanakan solat di awal waktu.

Ibubapa lebih mengambil berat mengajar anak-anak berpuasa dari mengajar anak-anak bersolat. Kadang kala anak dipaksa berpuasa dan disuruh juga menahan walau anaknya sudah lemah tak tahan menahan. Ada juga ibubapa yang memberi upah kepada anak-anak yang berpuasa mengikut jumlah hari. Jika tidak puasa tidak boleh raya! Itulah kata-kata yang selalu kita dengar dari ibubapa. Sedihnya solat diabaikan, lansung tidak dititik beratkan, malah dibiarkan tanpa ada rasa bersalah. Walhal solatlah lebih penting dan dengan kesan solatlah seseorang akan cenderung melakukan kebaikan-kebaikan yang lain.

Amat malang, jarang sekali ada ibubapa yang mahu memberi upah pada anaknya yang bersolat. Solat hanya 10 minit satu waktu, jika lima waktu baru 50 minit, tapi itu pun tidak boleh dilaksanakan. Tapi tempoh puasa 13 jam yang lama itu jugalah yang dititk beratkan melebihi dari solat. Ini bermakna masyarakat masih kurang memahami tujuan puasa, dan masih ramai yang berpuasa mengikut adat. Maka saban tahun Ramadan yang datang tidak mendapat kesan yang baik dalam diri masyarakat.

Al hasil, maksiat masih lagi berleluasa, perkara mungkar masih dianggap remeh, kejahatan masih ada di mana-mana sahaja. Begitulah jika impak Ramadan yang tidak memberi kesan dalam jiwa masayarakat. Puasa hanya sekadar puasa. Bila berakhirnya bulan puasa, maka yang biasa-biasa di buat semula, seolah-olah hanya menjadi hamba kepada Ramadan bukan hamba kepada Allla swt. Orang yang benar-benar menjadi hamba kepada Allah swt, akan merasai dan terus tunduk serta patuh kepada Allah pada bila-bila masa dan di mana jua berada.

Wahai insan, tanyalah diri adakah Ramadan kali ini kau mahu merugi lagi? Ramadan yang hadir untuk dirimu adalah pilihan dari Allah swt, dan adakah dirimu yakin akan bertemu dengannya pada tahun yang akan datang? Rebutlah peluang yang masih ada ini. Umur yang ada isilah dengan kebaikan, agar menjadi bekalan di akhirat sana. Jadilah orang yang bertaqwa nescaya tidak akan merugikan mu. Bersabarlah di dunia yang seketika ini demi meraih kebahagian yang kekal abadi. Memang hakikatnya jalan mujahadah ini pahit, kerana syurga itu manis.

Wahai diri, berubahlah, tiada jalan lain atau jalan singkat untuk mendapatkan kejayaan yang sebenar melainkan dengan kau berubah, berhijrah dan mujahadah. InsyaAllah dirimu akan jadi lebih bahagia dan tenang dengan berubah di jalan Allah. Kita semua warga akhirat, bukan warga dunia. Semuanya akan kembali padaNya. Samada syurga atau neraka . Semoga Ramadan kali ini kita tidak rugi lagi, menjadi insan bertaqwa dengan Allah dan  berakhlak dengan manusia. Fikirkanlah walau sedetik dengan sulami zikir agar dirimu berjaya mencapai bahagia. Amin
 

1 comment:

  1. Sadaqta, kebanyakkan ibubapa lebih berbangga jika anaknya tidak tinggal puasa berbanding dengan solat.

    ReplyDelete