Tuesday, 21 August 2012

Satu syawal yang hambar



Satu syawal adalah hari yang di nanti-natikan oleh semua umat Islam. Hari kemenangan dan hari kegembiraan kerana telah berjaya melaksanakan tugas sebagai hamba yakni berpuasa selama sebulan. Bulan mujahadah ibarat berada dalam madrasah tarbiyah sudah berakhir. Maka bergemalah takbir di seluruh bumi, memuji Allah, membesarkanNya.

Kelihatan ramai yang berbaju baru, wajah yang berseri-seri, perasaan yang gembira, memohon maaf, berbalas-balas ucapan. menziarahi sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, bersalam-salaman, bertanya khabar, melantunkan senyuman mesra, berbalas berita gembira dan bertukar cerita menjadi satu tradisi mulia pada satu syawal ini. Di kesempatan waktu inilah di ambil untuk melaksanakan peranan sebagai manusia untuk bermuamalat baik dengan manusia lain. Ya inilah juga akhlak sesama manusia yang sangat dituntut dalam agama. Anugerah Allah yang sangat menggembirakan.

Bagi mereka yang beriman, mereka juga bergembira, walau sebenarnya jauh dalam hati sanubari mereka merasa sedikit sebak kerana sudah meninggalkan ramadan yang mereka rindukan itu. Merindui bulan ibadah, penuh barakah, dengan kelebihan yang banyak sangat membuatkan hati mereka sebak dan sedih. Walau begitu hari demi hari perlu di teruskan sebagai hamba, hamba Allah yang terusan bermujahadah.

Pada satu syawal ini, aku diuji lagi, rintih pedih, hari yang penuh kecerian ini juga aku diuji. Di uji perasaan kecewa. Tapi tidak sekali-kali aku mahu kalah, apatah lagi mahu mengalah. Tidak perlulah aku menceritakan di sini, cukuplah mengatakan aku di uji. Ah... tapi itu semua ujian. Ujian itu semua dari Allah, aku mesti mujahadah. Ku tepis jauh dari bersangka buruk dan terus bersangka baik, bahawa semua ini ujian. Aku belum tahu lagi adakah aku sudah menerima anugerah taqwa dari Allah. Taqwa yang aku buru selama ramadan mesti terus menerus diburu walaupun ramadan sudah menjauh. Tidak mahu aku kehilangannya dengan ujian yang datang tanpa diurus dengan baik.

Sepatutnya aku gembira pada hari ini, tapi tiba-tiba rasa kecewa pula yang hadir. Terusan aku membasahkan lidahku dengan istighfar. Hambar pada haritu. Aku tidak meminta kasih manusia, tapi yang aku tagihi adalah kasih Allah. Merenung seketika menenangkan diri, melihat pemandangan gunung yang jauh, merasakan kehebatan dan keagungan Allah. Mencipta semuanya tanpa sia-sia. Merasakan kebesaranNya itu, lantas ku tunduk bahawa dunia ini adalah tempat menyelesaikan masalah, dan untuk menjadi orang yang benar-benar beriman, hati dan jiwa pasti di uji dan terusan di uji.

Untuk mendapat kasih sayang dan cinta bukan mudah. Tidak kira kasih pada Allah atau manusia. Allah pasti uji. Ujian ini mengikut iman yang ada pada diri. Lagi kuat iman seseorang lagi besar ujiannya. Bagi kasih sesama manusia Allah uji untuk menyatukannya. Mereka yang berkasih sayang kerana Allah tidak terlepas dari ujian. Suami dan isteri, Ibubapa dan anak, guru dan murid dan juga sahabat-sahabat semuanya di beri ujian. Kita akan di uji adakah benar cinta dan kasih sayang kita kerana Allah. Jika benar, bagaimana cara kita bermuamalat dengan mereka yang kita sayangi dan cintai. Allah uji.

Kenapa aku di uji? Seperti biasa aku sentisa positif bahawa Allah mahu angkat darjat kita, mahu berikan perkara yang lebih baik, dan kerana Allah sayang akan kita. Maka ketika solat aku memohon agar Allah memberikan ku ketenangan dan ketenteraman jiwa. Memohon keampunan kerana terlalu banyak dosa yang perlu ditanggung. Aku redha dan pasrah melaluinya dengan tabah. Ujian yang datang pasti akan memberi seribu hikmah yang berlipat kali ganda, cuma aku mesti mendidik diri menjaga hati, bahawa semuanya jua aturan dari Allah dan menerimanya dengan pasrah.

Semoga syawal di hari-hari yang mendatang ini menjadikan ku lebih tenang dan gembira. Bersama keluarga, sanak saudara, dan teman-teman. Akan ku laluinya dengan cekal penuh tawakal. Aku masih ada teman, Tahajjud, dhuha dan taubat menjadi bekal sepanjang perjalanan. Allah maha sayang maha memahami, jauh sekali mengecewakan hambaNya. Ramadan kau pergi syawal kau kembali. Harapannya dihargai.






3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih doc atas tunjuk ajar dan nasihat :-)

    InsyaAllah Ma Ahzan al an :-)

    ReplyDelete