Friday, 21 September 2012

Nasihat demi satu tujuan buat semua pelajar baru yang menghampiri saat pemusafiran



  
Akhi, “anta diterima belajar di Universiti Islam Madinah! Nama-nama yang diterima  baru tadi keluar di website Universiti Islam Madinah. Tahniah akhi! “Alhamdulillah… Tapi, benar apa yang anta katakan ini? Balasnya laju untuk mendapat kepastian.  Ya, memang benar, ana tahu sungguh nama anta, kita sekolah hampir 5 tahun, nama penuh anta sudah ana hafal. Allah Allah, menitis air matanya tanpa di sedari, terus di tarik tangan rakannya dan memeluk penuh erat..

Akhi…Demi Allah, ana tidak pernah rasa bahagia dan bahagia seperti hari ini, pelukan mereka semakin erat, ana rasa macam tidak percaya dengan berita ini. Ya Allah.. Telah menjadi amalan orang beriman, dia terus sujud syukur pada Ilahi, dahinya terus tersungkur menghinakan diri, tangisan yang teresak-esak semakin kuat kedengaran, tangannya patuh menghala kedepan, dahi jatuh merebah merasa kesyukuran. Di dalam sujudnya dia berzikir dan berdoa :

“ Subhanallah, wa Alhamdulillah, walaa ila haillallah walla Allahuakbar! Ya Allah…. sudah dua tahun aku menunggu keputusan ini, akhirnya KAU terima juga permohonan ku, Ya Allah… jadikanlah aku hamba yang terusan bersyukur, mengingati KAU dan terusan memperbaiki ibadahku pada KAU ya Allah, Ya Razzaq Ya Rahman Ya Rahim..”
  dia terus merintih dan mengalirkan air mata.

Hello, Assalamualaikum.. dia lantas menghubungi bapanya, Ayah! Ayah! “Saya diterima belajar di Universiti Islam Madinah, tadi kawan beritahu maklumatnya, nama-nama pelajar baru sudah keluar, saya juga sudah lihat sendiri di internet di rumah kawan”.  Ia, syukur Alhamdulillah, anak ayah berjaya sambung belajar sana, mubaarak ‘alayk!” “terima kasih ayah, hari ini saya balik rumah awal ya, nanti kirim salam sama umi tentang berita ini, saya mahu menghubungi ustaz-ustaz dan rakan-rakan yang lain.

Begitulah gembiranya seorang hamba apabila Allah memberi kebahagian padanya, kebahagian perasaan tidak boleh dibeli, ia datang dan pergi dengan kehendak Ilahi, ada masa kita gembira sangat, tapi ada masa kita sedih dan muram sahaja. Itulah Tuhan yang memegang jiwa dan hati manusia. Nabi kita Muhammad sallahu ‘alahi wasallam, sentiasa berdoa dengan doa:

Allahumma Ya Muqallibal Qulub, thabbit qalbi ‘ala diinika wa thaa’atika

Maksudnya : Ya Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama dan ketaatan pada Mu.

Buat mereka yang berada di bumi Nabi dan para sahabat iaitu Madinah Al-Munawarah dan buat mereka khususnya para pelajar baru yang akan tiba, sentiasa berdoalah dan bersyukurlah pada Allah swt akan kenikmatan yang agung ini. Demi Allah, semua ini adalah pilihanNya, dalam berjuta umat manusia, kenapa dirimu dipilih, pasti ia tidak sia-sia. Sebelum semua para ikhwah bertolak ke bumi terpilih ini, baikilah niat, betulkanlah tujuan. Kita insan yang lemah dan banyak kurang, adakala kita leka dan alpa. Apakah tujuanmu bermusafir ke sini? Tanyalah diri, jawablah sendiri, jika benar niatnya, peliharalah sebaik mungkin, jika tersasar kembalikan untuk memperbaikinya.

Niat atau tujuan itu penting, ia seperti berada di pangkal jalan, jika dirimu sesat atau lalai, kembalilah ke pangkal jalan, tetapi jika pangkal jalanmu itupun tidak betul, maka jalan mana untuk dirimu kembali? Soal tujuan bukan soal ranting atau pinggiran, ia sudah menjadi aturan, niat yang baik akan dapat natijah yang baik juga, begitulah ajaran Nabi kita yang mulia sallallahu ‘alaihi wasallam. Ironinya, permulaan jalan yang baik akan membuahkan pengakhiran yang baik, maka itula peri pentingnya mukadimah dalam kehidupan.

Khususnya buat mereka bakal junior yang akan tiba, bersihkan jiwa mu dengan ketaqwaan, isikan hatimu dengan iman, islahkan niatmu dengan tujuan. Mintalah pada Allah akan keampunan, luangkanlah masa untuk memohon taubat, agar hati dan jiwa yang bakal datang ini, lebih tenang dalam lambungan sakinah dan rahmah Tuhan. Bawalah hati yang bersih dan jiwa yang tenang  agar pemusafiran mu kali ini menjadi titik perubahan dalam kehidupan. Perjalanan kita panjang, bukan sahaja di bumi penuh barakah ini, tapi terus ke penghujung jalan sampai ke destinasi bertemu Tuhan.

Ilmu yang dibakal di cari dan di gali nanti terlalu banyak dan melata, dirimu bebas memilih demi menjadikan ianya harta apabila pulang ke tanah air semula.  Ilmu yang akan di tuntut nanti perlukan bekal, tidak cukup dengan tawakal, ingat tawakal mesti berbekal, jadikanlah iman yang teguh, taqwa yang kukuh, jiwa yang tidak mudah luntur sebagai bekal sepanjang pemusafiran dan kehidupan. Agar dirimu terus tabah, hadapilah ia dengan mujahadah walau ada resah dan gelisah. Hidup memang tidak selalu mudah, kerana itu pintalah hati yang tabah dan iman yang kuat untuk menghadapinya.

Saat tiba di Madinah nanti, jangan lupa untuk terus segera ke Masjid Nabawi, ziarahlah seketika maqam Nabi Muhammad sallalahu ‘alaihi wasallam tanda cinta dan rindu pada baginda, selawat dan salam sejahtera selalu ke atas baginda dan keluarga serta para sahabatnya.  Jika ianya menjadi pengalaman kali pertamamu menziarahi maqam baginda, lebihkanlah syukur  kerana Allah telah menjemput dirimu dari yang “beribu”, bukanlah kerana dirimu berharga, bukanlah kerana dirimu orang “berada” dan bukanlah juga kerana dirimu ada takhta, tapi inilah belas kasihan dan pilihan dari yang maha mencipta.

Sebagai pelajar di Jami’ah nanti, pilihlah teman yang baik dan soleh. Jika berkawan dengannya sentiasa boleh menambah iman, dan menambah ilmu, akhlak terpelihara, solat berjemaah terjaga. Bukan menolak tepi kawan yang kurang baik, tapi hanya meletakkan satu garisan agar dirimu lebih terjaga. Lebihkanlah niat juga, agar keburukan kitalah yang boleh mempengaruhi orang lain, itulah tanda jiwamu ada sinar yang sentiasa merendah diri. Itulah sifat, yang padanya ada berkat, hanya yang memandangnya dengan pandangan mata hati sahaja boleh melihat.

Pelbagai cabaran dan ujian yang bakal di tempuhi, dirimu sedang berkhayal, di alam yang tidak nampak, mungkin yang baik-baik sahaja jelas di dalam khayalan dan angan-anganmu. Angan-angan yang baik itu bagus, tapi jangan tertalu tinggi, kerana “Mat Jenin” yang berangan terlalu tinggi telah jatuh dari pokok kelapa yang di panjatnya. Beranganlah, berkhayalah, tidak salah, tapi ketahuilah khayalan dan anganmu tidak semua betul malah mungkin ada salah. Bumi Madinah sudah pasti indah, tapi benarkah tiada yang susah? Insya Allah bekalan niat dan tujuanmu akan memudahkan apa yang susah nanti. Jadilah insan yang sentiasa kuat, kuat iman dan kuat bekerja. Itulah legasi yang sudah lama termaktub dalam kitabullah – Al-Qawiy wa Al-Amin.

Semoga kita berjumpa dengan hati penuh mesra, dan jiwa yang tidak lara, kerana jauh meninggalkan  keluarga, teman dan sanak-saudara. Bergembiralah walau adakalanya ia sukar, ingatlah selalu Allah sentiasa bersama kita, apatah lagi penuntut ilmu yang sedang bermujahadah. Menjadi mujahid ilmu bukan mudah, perlu “berlelah-lelah”. Ingatlah, mujahadah itu memang indah, ianya pahit seketika kerana Allah mahu beri syurga yang manis buat selamanya. Berjuanglah menentang susah, berkorbanlah demi mencapai kebahagian untuk akhirat sana. Madinah penuh keindahan, padanya ada tawa dan tangisan. Pilihlah tawa kerana dapat mententeramkan jiwa, dan pilihlah tangisan kerana ia dapat menambah iman.

Tahniah dan alfu mubaarak kepada kalian atas usaha dan pilihan, semuanya bakal jadi impian. Teruslah berdoa agar semuanya lancar dan penerbangan kalian dimudahkan. Ingat pesan kami semua di sini, bawalah iman yang kuat dan hati yang tabah kerana kehidupan di Madinah tidak selalunya mudah, jika dirimu telah dilanda ujian dan dugaan di tanah air, begitulah madinah yang tidak terlepas dari ancamann dan dugaan. Jangan mengalah walau pun sering kalah, kerana orang yang tidak mengalah itulah yang menang.  Insya Allah semuanya selamat dan di doakan ada kebaikan  dalam pemusafiran nanti. Kalian akan akan tiba insya Allah, bersabarlah menunggu masanya. Aturan Tuhan, pasti ada kebaikan, pasti, pasti dan pasti.. Amin Ya Rabbal ‘alamiin.

Danial Madani
5 Zulkaedah 1433H
Maktabah Masjid An-Nabawi


No comments:

Post a Comment